Guan Eng dakwa ‘sedikit’ kelulusan kerajaan perlu untuk projek terowong, kata saksi

Guan Eng dakwa ‘sedikit’ kelulusan kerajaan perlu untuk projek terowong, kata saksi

Ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli berkata Lim Guan Eng beritahu sebarang kelulusan daripada kerajaan persekutuan sukar diperoleh memandangkan Pulau Pinang ketika itu ditadbir pembangkang.

Zarul-Ahmad-Mohd-Zulkifli_Lim-Guan-En
Zarul Ahmad Zulkifli memberitahu mahkamah beliau tidak tahu sama ada pentadbiran negeri Lim Guan Eng pernah membuat keputusan menghentikan projek terowong dasar laut.
KUALA LUMPUR:
Saksi utama dalam kes rasuah projek terowong dasar laut melibatkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen yang bekas ketua menteri Pulau Pinang mendakwa pembabitan kerajaan persekutuan kurang jika pelaksanaannya dibuat negeri itu.

Ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli, berkata Lim menyatakan perkara itu kepadanya pada peringkat awal penyediaan cadangan untuk projek terowong dasar laut pada 2011.

“Beliau (Lim) kata jika kerajaan negeri mahu bina jambatan (ketiga), ia akan memerlukan banyak kelulusan daripada kerajaan persekutuan.

“Tetapi untuk terowong, katanya penglibatan dan kelulusan daripada kerajaan persekutuan lebih sedikit.

“Beliau juga kata memandangkan Pulau Pinang ketika itu ditadbir pembangkang, sebarang kelulusan daripada kerajaan persekutuan sukar diperoleh,” katanya semasa pemeriksaan semula

Bulan lalu, mahkamah dimaklumkan Zarul memberitahu kerajaan negeri bahawa pembinaan terowong itu sukar dilaksanakan.

Projek bernilai RM6.3 bilion itu merangkumi sebuah terowong dasar laut dan tiga jalan utama, dicadangkan kerajaan negeri bagi mengurangkan kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang.

Hari ini, Zarul memberitahu mahkamah beliau tidak tahu sama ada pentadbiran Lim pernah membuat keputusan untuk menghentikan projek terowong itu.

Zarul turut mengesahkan bahawa beliau bertemu dengan mendiang ahli perniagaan Ewe Swee Kheng pada 2013 bagi membincangkan pemindahan hak milik sebidang tanah milik kerajaan negeri.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa Ewe ‘yakin’ beliau akan menerima tanah milik kerajaan negeri dikenali lot 702. Ewe meninggal dunia pada 6 Okt 2021 selepas terjatuh ke dalam kolam renang dari apartmennya.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta Zarul memberikan 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut tersebut serta menerima suapan berjumlah RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu.

Beliau turut didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.