SKMM bantu polis siasat insiden pemilihan PKR, kata Fahmi

SKMM bantu polis siasat insiden pemilihan PKR, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata SKMM bertindak sebagai penganalisis teknikal bagi membuat beberapa pengesahan.

mcmc
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membantu polis menyiasat dakwaan dalam satu video tular dan satu hantaran Facebook. (Gambar SKMM)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat dua laporan berkaitan pemilihan PKR, termasuk satu insiden membabitkan seorang calon di Perak yang didakwa mengacukan senjata api.

“SKMM akan membantu siasatan polis terhadap video yang tular dan bertindak sebagai penganalisis teknikal untuk membuat beberapa pengesahan,” kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Dalam video berdurasi satu minit yang kini tular di media sosial, seorang calon yang bertanding di peringkat cabang Tambun mendakwa seorang lagi calon mengacukan pistol.

Fahmi yang juga ketua penerangan PKR berkata Calon yang memuat naik video itu juga telah membuat laporan polis.

Terdahulu, Kosmo melaporkan Adun Hulu Kinta, Arafat Varisai Mahamad menafikan dakwaan yang tersebar menerusi video bahawa beliau mengacukan senjata api semasa pemilihan parti.

Sementara itu, Harian Metro yang memetik Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin sebagai berkata, polis telah memanggil lapan saksi dan sedang mengenal pasti saksi lain bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, Fahmi berkata laporan kedua membabitkan hantaran di Facebook yang didakwa memfitnah seorang calon di Perlis.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan jelik atau menghina.

PKR kini sedang menjalankan pemilihan peringkat cabang, manakala pemilihan barisan kepimpinan pusat dijadual berlangsung pada Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.