
Wong dalam satu hantaran Facebook menggesa pengundi menyokong Presiden Warisan, Shafie Apdal, dengan menyifatkannya sebagai ‘versi Abang Johari bagi Sabah’ serta menyeru rakyat negeri itu untuk ‘Undi Warisan demi selamatkan Sabah’.
Beliau turut berkongsi klip ucapan di satu acara parti, di mana Wong mendakwa Shafie enggan terlibat dalam permainan politik menarik wakil rakyat lompat parti dengan tawaran jawatan atau projek semasa krisis politik Sabah 2020.
“Beliau (Shafie) mahu hentikan budaya beli wakil rakyat dengan projek dan jawatan.
“Beliau tidak mahu itu semua. Beliau sanggup berkorban (kuasa).
“Beliau (memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri ketika itu, Juhar Mahiruddin dan) membubarkan seluruh DUN (yang membawa kepada pilihan raya negeri mengejut),” katanya.
Dalam hantaran Facebook, Arthur menyifatkan naratif yang cuba dibina Wong sebagai lucu dan mengingatkan satu kenyataan bekas timbalan ketua menteri Sarawak, mendiang James Masing, yang pernah menuduh Warisan ‘takut’ menuntut hak minyak dan gas daripada kerajaan persekutuan.
“Saya fikir jauh panggang dari api, dalam usaha Junz membina naratif propaganda politik menyamakan Abang Johari dengan Warisan.
“Saya belum pernah nampak Abang Johari bagi nota ‘sukacita dapat diluluskan’ permohonan MyKad dan MyKas, lebih-lebih lagi permohonan yang minta pengecualian perintah mahkamah,” katanya, dipercayai menyindir kontroversi pengurusan dokumen kad pengenalan diri ketika Warisan berkuasa.