
Menurut Exco Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi, kesemua mangsa itu sebelum ini ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Petaling, iaitu Dewan Kenanga Seksyen 28, SK Shah Alam di Seksyen 16 dan SMK Seksyen 16 di Shah Alam, serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya Camelia (MBSJ) di Subang Jaya.
“Kesemua mangsa sudah mula dibenarkan pulang sejak semalam apabila banjir mulai surut di beberapa kawasan di daerah Klang serta Petaling,” katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed mengisytiharkan PPS SK Shah Alam dan SMK Seksyen 16 yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Padang Jawa telah ditutup pada 1 tengah hari.
Katanya, Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Putra Heights yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Tengah, Kampung Bukit Lanchong, Kampung Kuala Sungai Baru pula diisytiharkan tutup pada 5 petang.
“Dewan Kenanga yang turut menempatkan mangsa banjir dari Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Lanchong Jaya ditutup pada 6 petang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, jumlah mangsa di Sabah meningkat sedikit, manakala di Johor berkurangan pada petang ini.
Di Sabah, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat daripada 683 orang daripada 186 keluarga pagi tadi kepada 687 orang daripada 191 keluarga petang ini.
Kesemua 475 orang daripada 121 keluarga dipindahkan di enam PPS di daerah Nabawan, manakala jumlah mangsa banjir di dua PPS di Sook kekal 212 orang daripada 70 keluarga.
“Sebanyak 30 kampung di Nabawan dan dua kampung di Sook terjejas akibat bencana banjir berikutan hujan berterusan di kawasan pedalaman Sabah itu, masing-masing terletak 174km dan 147 km dari Kota Kinabalu,” katanya.
Laman rasmi sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di Sabah mengalami ribut petir dengan suhu antara 21-34 darjah Celsius pada petang hingga malam ini.
Di Johor, seramai 163 mangsa daripada 52 keluarga masih terjejas hingga 4 petang, berbanding 177 mangsa daripada 58 keluarga pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani berkata, setakat ini satu daerah masih terjejas, iaitu Batu Pahat, selain satu PPS beroperasi di SMK Seri Gading.
Katanya, mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Baharu Sri Gading; Kampung Parit Bengkok; Kampung Parit Kaspan; Kampung Parit Samion; Kampung Parit Haji Salleh Ros; Kampung Parit Sri Muar; Kampung Sri Pandan dan Kampung Parit Samijan.
“Sungai Senggarang di daerah Batu Pahat berada pada paras amaran iaitu 3.16m dan Sungai Batu Pahat berada pada paras waspada iaitu 2.30m,” katanya dalam kenyataan.
“Sementara itu, hingga 4 petang, cuaca di dua daerah, iaitu Mersing dan Tangkak, dilaporkan mendung, manakala lain-lain daerah dilanda hujan. Amaran ribut petir juga dikeluarkan terhadap semua daerah di negeri ini pada sebelah petang.”