
Pada aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, pilihan keenam Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi cemerlang apabila menewaskan pasangan tuan rumah Chen Bo Yang-Liu Yi, sekali gus menjadi beregu Malaysia pertama memenangi gelaran itu sejak Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Johor Bahru pada 2007.
Pada set pembukaan, bekas juara dunia 2022 itu bermula garang apabila mendahului 3-0, namun pasangan China berkenaan enggan mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan 15-15.
Aaron-Wooi Yik kekal tenang dan menggunakan beberapa pukulan menarik dan tepat untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-19 dalam perlawanan yang mendebarkan.
Walaupun ketinggalan 9-11 pada waktu rehat set kedua, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu bangkit dengan semangat juang tinggi untuk mendahului 19-15, sebelum Aaron menamatkan perlawanan dengan satu ‘smash’ padu, sekali gus memastikan kemenangan 21-17 dalam masa 47 minit untuk merangkul kejuaraan itu.
Kemenangan itu turut melebarkan rekod pertemuan mereka menentang pasangan tuan rumah itu kepada 3-1, sejak kali pertama bertemu pada pusingan kedua Malaysia Masters 2024.
Kejayaan hari ini cukup manis buat Aaron-Wooi Yik kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk menebus kekecewaan apabila tewas pada final edisi 2022 di Muntinlupa, Filipina kepada pasangan Indonesia Pramudya Kusuma-Yeremia Rambitan, 21-23, 10-21.
Pasangan nombor enam dunia itu mempamerkan aksi cemerlang pada kempen BAC 2025 apabila tidak tewas satu set pun sepanjang kejohanan.
Aksi cemerlang mereka termasuk kemenangan 21-12, 21-14 ke atas pasangan pilihan kedua dan sandaran tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang pada saingan separuh akhir semalam.
Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai USD37,000 (kira-kira RM164,000), manakala Bo Yang-Liu Yi menerima USD17,500 (kira-kira RM77,000) selaku naib juara.