Tiada pergeseran calon BN, Pemuda Umno Tapah, kata Zahid

Tiada pergeseran calon BN, Pemuda Umno Tapah, kata Zahid

Presiden Umno yang juga pengerusi BN yakin jentera Pemuda Tapah akan digerakkan bagi membantu Mohamad Yusri Bakir sepanjang tempoh berkempen pada PRK.

zahid hamidi n yusri bakir
Calon BN PRK Ayer Kuning Mohamad Yusri Bakir (kanan) disantuni Pengerusi Zahid Hamidi ketika penamaan calon di Dewan Merdeka, Tapah. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Zahid Hamidi menafikan berlaku pergeseran dalaman antara Ketua Pemuda Umno Tapah Fahmi Ahmad Jakhisi dan calon Barisan Nasional PRK Ayer Kuning Mohamad Yusri Bakir.

Presiden Umno yang juga pengerusi BN yakin jentera Pemuda Tapah akan digerakkan bagi membantu Yusri sepanjang tempoh berkempen pada PRK DUN itu.

“Tidak ada (unsur boikot dalam kalangan Pemuda Umno Tapah). Beliau (Fahmi) ada dalam setiap mesyuarat diadakan, sama ada di peringkat negeri atau bahagian.

“Jentera Pemuda Umno Tapah akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Yusri,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon di Dewan Merdeka.

Beliau mengulas dakwaan berlaku pergeseran dalaman apabila Fahmi tidak dipilih untuk mewakili BN pada PRK DUN Ayer Kuning.

Terdahulu FMT melaporkan, Pemuda Umno menegaskan walaupun segelincir ahli sayap itu kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon BN bagi PRK itu, mereka tetap komited membantu kemenangan Yusri.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata Pemuda tidak sesekali akan memboikot PRK DUN di Perak itu.

Sebelum ini, Pemuda Umno mengemukakan calon tunggal mereka bagi PRK itu, namun pucuk pimpinan parti memilih Yusri yang juga setiausaha Umno Tapah.

Sementara itu, Zahid berkata komposisi pengundi pelbagai kaum akan memberi peluang kepada Yusri mengekalkan kemenangan BN pada 26 April ini.

“Kita tidak menjanjikan pembangunan, tetapi yakinlah (menerusi) pemilihan Yusri , pembangunan akan diteruskan dan kebetulan (lokaliti) Ayer Kuning (berada) dalam kawasan luar bandar.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan fikirkan pembangunan infrastruktur berterusan dan harap pengundi dapat berikan sokongan kerana Yusri berjanji memberikan kesinambungan kepada perkhidmatan penyandang, Ishsam Shahruddin,” katanya.

Beliau berkata, jentera gabungan itu juga sentiasa bersedia berdepan isu dibangkitkan pembangkang sepanjang kempen PRK berkenaan.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Yusri, Abdul Muhaimin Malek mewakili Perikatan Nasional dan PSM yang mempertaruhkan KS Bawani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.