
Bercakap kepada FMT, Zahir mendakwa tiada pelarasan antara pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju dan parti menyebabkan sesetengah bantuan lewat atau gagal disalurkan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan diwakilinya.
“Di Wangsa Maju, ada sedikit ketidaksehaluan itu (antara pejabatnya dan pejabat ketua bahagian PKR) dan saya rasa keadaan itu tidak membenarkan saya untuk berkhidmat ke tahap di mana saya ingin berkhidmat.
“Menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan halangan ini dikurangkan atau diketepikan, lantaran itu saya fikir elok saya tukar cabang dan bertanding di Wangsa Maju supaya ketua cabang dan Ahli Parlimennya sama,” katanya.
Sebelum berpindah cabang, Zahir adalah ketua bahagian Titiwangsa sejak 2015 dan pada pemilihan PKR 2022 beliau menang jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat dan dilantik sebagai setiausaha pengelola pusat.
Pemilihan jawatan ketua PKR Wangsa Maju menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang Lai dicabar Zahir dan Abdullah Talip daripada Otai Reformis 1998.
Pada pemilihan 2025, beliau turut mengumumkan barisan pasukannya diwakili calon timbalan ketua bahagian, Zainurizzaman Moharam; calon naib ketua bahagian, Sim Ming Hong, calon ketua Wanita, Falora Ambi serta calon ketua Pemuda Abel Yap Shun Kit.
Dengan slogan ‘Wangsa Maju Kita Punya’, pasukannya menawarkan lima aspirasi untuk ditawarkan kepada ahli PKR dan pengundi Wangsa Maju antaranya pengurusan kewangan telus, pasukan satu hati, program tahunan, pengukuhan ranting dan pemerkasaan anggota.
Zahir berkata, mengurus kewangan bahagian dengan telus bermula dengan tindakan segera iaitu membuka akaun bank bagi bahagian berkenaan adalah keutamaannya.
Katanya, selain itu beliau komited menubuhkan sekurang-kurangnya satu cawangan bagi setiap daerah mengundi supaya parti di peringkat bahagian sentiasa sedia menggerakkan jentera untuk berdepan PRU pada bila-bila masa.
“Sebelum ini semasa mesyuarat bahagian parti, yang kita bangkitkan mengapa tiada akaun bank untuk uruskan dana parti di peringkat bahagian. Dalam perlembagaan sendiri menuntut setiap bahagian ada akaun bank masing-masing.
“Jadi bila kita tahu akaun itu tiada, saya rasa perlu diperbaiki (urusan kewangan parti di peringkat bahagian) supaya lebih telus,” katanya.
Aduan sedang dinilai
Mengulas status semasa bahagian Wangsa Maju selepas Setiausaha Agung Fuziah Salleh menasihatkan bahagian itu digantung susulan isu dalaman, Zahril berkata segala aduan telah dikemukakan kepada ibu pejabat PKR dan kini sedang dinilai.
“Jawatankuasa lama (diketuai Lai) telah dibubarkan pada 1 Mac dan kini statusnya berada bawah pertimbangan pimpinan negeri dan pusat. Apa-apa keputusan lanjut akan diumumkan oleh mereka,” katanya.
Pada 25 Mac, Fuziah berkata beliau akan mencadangkan bahagian Wangsa Maju digantung kerana mesyuarat khas pada sehari sebelumnya itu tidak menepati syarat perlembagaan parti.
Mesyuarat agung khas bagi meluluskan pembentangan semula penyata kewangan 2024 pada 24 Mac kecoh selepas didakwa didakwa dilakukan secara tidak teratur.
Beberapa ahli tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat susulan tiada penjelasan berhubung dakwaan pemalsuan dalam pembentangan penyata kewangan diluluskan pada 1 Mac lalu.
Susulan itu, Bendahari PKR Wangsa Maju Chook Kin Heng meminta pimpinan menyiasat dakwaan kontroversi pemalsuan dalam pembentangan penyata kewangan 2024 yang dinafikan ketuanya, Lai.