
Pada Rabu, Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat berkata beliau bimbang dengan peningkatan kes rogol dan sumbang mahram, mengatakan bahawa kanak-kanak perempuan seawal 10 tahun dan lelaki seawal 11 tahun didapati melakukan hubungan seksual.
Bercakap kepada FMT, Pengasas Persatuan Kebajikan Suriana James Nayagam dan pengasas bersama Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin berkata ia bukan perkara baru dan peningkatan aktiviti seksual bawah umur sebahagian besarnya didorong oleh media sosial dan tekanan rakan sebaya.
“Ia sangat biasa (dan ia adalah) masalah yang tidak kelihatan. Kami mungkin fikir ini hanya berlaku di sekolah menengah atau kolej, tetapi ia juga berlaku di sekolah rendah,” kata Nayagam.
Kedua-dua aktivis berkata, keperluan untuk penerimaan daripada rakan sebaya mereka sering mendorong kanak-kanak terlibat aktiviti seksual secara berkumpulan, satu trend yang mereka katakan semakin meluas.
“Ia sudah menjadi perkara biasa. Untuk diterima, kanak-kanak merasakan mereka perlu mempunyai aktiviti yang sama,” kata Nayagam, yang telah menjadi peguam bela hak kanak-kanak selama lebih empat dekad.
Dia memberi amaran bahawa kanak-kanak lelaki juga terjebak dengan perkara sama, dengan sesetengahnya menganggap pengalaman seksual sebagai persaingan dalam kalangan rakan sebaya.
Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak perempuan seawal 13 atau 14 tahun sudah menggunakan kontraseptif jangka panjang, malah ada yang menunjukkan kepadanya implan tertanam dalam lengan mereka.
“Gadis-gadis itu memberitahu saya bahawa mereka kini bebas melakukan aktiviti seksual mereka tanpa rasa takut untuk hamil,” katanya.
Ditanya bagaimana gadis-gadis ini mendapatkan kontraseptif, beliau berkata ‘klinik meragukan’ tertentu telah diketahui memberikan kontraseptif terbabit untuk mencari keuntungan.
Hartini, yang terlibat dalam aktivisme kanak-kanak selama lebih 20 tahun, berkata dia mengetahui kanak-kanak seawal usia sembilan tahun terdedah kepada kandungan seksual dan pengantunan dalam talian.
“Media sosial telah menjadi bilik darjah kedua, kecuali tiada guru, tiada perlindungan, dan tiada sempadan,” katanya.
“Ia adalah masalah yang tidak kelihatan yang telah diabaikan, disenyapkan, dan terkubur di bawah rasa malu dan pantang larang.”
Hartini menekankan, kanak-kanak tidak mencari seks sebaliknya, untuk hubungan dan pengesahan. Dia juga berkata kanak-kanak itu sedang mencari kawalan ‘dalam dunia yang sering kali tidak memberikannya’.
Pada Rabu, Yusoff berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkod, meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.
Katanya, bagi suku pertama tahun ini juga merekodkan peningkatan 17.1%, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan, sebanyak 98 kes dilaporkan adalah suka sama suka.