
Malah, beliau berkata, peruntukan kepada Kelantan meningkat 30% tahun lepas kepada RM762 juta berbanding RM588 juta pada 2023.
Menurutnya, peruntukan kepada Terengganu juga mencatat kenaikan 28% kepada RM2.02 bilion tahun lepas berbanding RM1.57 bilion pada 2023.
“Peningkatan ini meliputi pemberian seperti Marris (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya), TAHAP (Pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup), geran per kapita, wang ihsan serta peruntukan bawah senarai bersama.
“Peruntukan ini merupakan sumber utama hasil negeri, khususnya Kelantan dan Terengganu, yang masing-masing hanya menjana sekitar RM500 juta dan RM250 juta daripada sumber negeri sendiri,” katanya pada Majlis Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kelantan di Pantai Irama di sini.
Selain itu, beliau berkata, Putrajaya turut meluluskan peruntukan program basmi kemiskinan RM25 juta untuk Kelantan dan RM60 juta buat Terengganu tahun ini.
Perdana menteri berkata dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Kelantan dan Terengganu dianaktirikan dalam pemberian peruntukan dan wang ihsan adalah tidak benar kerana pemberian peruntukan kepada kedua-dua negeri itu meningkat pada 2024 berbanding 2023.
“Jadi tak apalah kalau tak setuju dalam beberapa perkara, tapi janganlah bercerita kata tak ada peruntukan. Dua kali ganda (pemberian peruntukan),” katanya.
Menyentuh mengenai projek pembangunan, Anwar berkata ia merupakan antara keutamaan kerajaan dalam usaha memperkukuh infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di Kelantan.
Beliau berkata kerajaan persekutuan memperuntukkan RM3.19 bilion bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan di Kelantan pada 2025, iaitu hampir dua kali ganda berbanding RM1.55 bilion pada 2022.
Perdana menteri berkata daripada jumlah itu, peruntukan disalurkan merangkumi pelbagai sektor keutamaan antaranya lebih RM1 bilion diperuntukkan bagi projek jalan raya, termasuk meneruskan pembinaan pelbagai segmen Central Spine Road (CSR).
Selain itu RM500 juta disediakan bagi projek air baharu, terutamanya pembinaan Loji Rawatan Air Machang, dan RM100 juta diperuntukkan untuk Program Rumah Mesra Rakyat dan Program Bantuan Rumah; serta kira-kira RM50 juta disalurkan kepada program pekebun kecil getah di bawah RISDA.
Anwar berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira negeri atau latar belakang politik.