
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata harga kawalan benih ketika ini adalah RM58 untuk satu beg (20kg) yang ditetapkan pada Mac 2024 ketika harga padi yang ditawarkan kilang mencapai RM1,800 setan.
Katanya, alasan kenaikan harga benih ketika itu adalah kerana mengikut harga belian padi.
“Bagaimanapun, penurunan harga belian padi pada tuaian yang lepas iaitu sekitar RM1,500 setan menjadikan harga benih semasa tidak lagi munasabah.
“Susulan penurunan harga tawaran padi itu sepatutnya harga benih padi diturunkan kepada RM35 seperti sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memaklumkan perkara itu dalam satu surat kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pada Februari lalu tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan.
Katanya, pesawah kini berdepan tekanan akibat kenaikan kos sara hidup dan penghapusan subsidi diesel menyebabkan kos operasi pertanian meningkat mendadak, sekaligus menjejaskan pendapatan pesawah.
“Penurunan harga benih padi adalah langkah penting untuk memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara.
“Ia akan membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi pesawah dan memberi impak positif kepada pendapatan mereka,” katanya.
Rashid berkata pesawah adalah tulang belakang pengeluaran makanan negara dan sokongan sewajarnya, termasuk menurunkan harga benih adalah penting untuk memastikan pesawah terus dapat menghasilkan padi bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Kami percaya bahawa tindakan segera oleh ketua pengarah Bahagian Padi dan Beras dalam mengeluarkan arahan menurunkan harga benih padi akan memberi kelegaan kepada pesawah.
“Kami juga berharap agar kementerian dapat mempertimbangkan gesaan ini dengan serius dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya,” katanya.