DAP kesal PN guna karikatur sindir Anwar, Loke

DAP kesal PN guna karikatur sindir Anwar, Loke

Timbalan Pengerusi Nga Kor Ming berkata tindakan itu bukan sahaja tidak wajar malah mencerminkan pendekatan politik sangat tidak matang.

PRK AYER KUNING
Sepanduk dibawa penyokong PN dilihat memaparkan karikatur pemimpin kerajaan perpaduan dengan tulisan antaranya ‘nilai ringgit merosot’, peningkatan cukai’ dan ‘Shut up’.
PETALING JAYA:
DAP kesal dengan tindakan Perikatan Nasional menggunakan karikatur seolah-olah menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook pada penamaan calon PRK Ayer Kuning hari ini.

Timbalan Pengerusi, Nga Kor Ming, berkata tindakan itu bukan sahaja tidak wajar malah mencerminkan pendekatan politik sangat tidak matang.

“Sindiran melalui karikatur sebegini yang berniat jahat tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara, malah cuba memesongkan tumpuan daripada isu sebenar perlu kita atasi bersama seperti perang tariff (Donald) Trump.

“Sebagai parti politik yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, kita percaya perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan, bukan mempermainkan individu dengan cara kebudak-budakan serta memperalatkan agama dan kaum sebagai modal murahan,” katanya dalam kenyataan.

Sepanduk dibawa penyokong PN itu dilihat memaparkan karikatur pemimpin tersebut dengan tulisan antaranya ‘nilai ringgit merosot’, ‘peningkatan cukai’, ‘penghapusan subsidi’ dan ‘shut up’.

Dalam pada itu, Nga berkata Pakatan Harapan komited dan cakna memberikan sokongan penuh kepada Barisan Nasional dalam PRK DUN itu bagi memperkukuh hubungan kerjasama dalam kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan pembangunan negeri selaras wawasan Perak Sejahtera 2030.

“Negara kita memerlukan politik yang membina, bukan membinasa,” kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Terdahulu, calon PN Abdul Muhaimin Malek berharap semua penyokong parti bertanding mengamalkan kempen secara secara sihat dan penuh kasih sayang tanpa sebarang provokasi.

Katanya, soal menang kalah adat pertandingan dan apa lebih penting setiap calon termasuk pembangkang mahupun kerajaan berkempen secara berhemah dan menawarkan idea terbaik untuk dinilai pengundi.

“Saya mengharapkan kempen yang baik, yang datang daripada hati. Kempen yang mesra warga, penuh dengan kasih sayang, rasa mahabbah…kerana kita menghidupkan demokrasi,” katanya ditemui selepas penamaan calon di Dewan Merdeka, Tapah.

PRK DUN itu pada 26 April ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN diwakili Mohamad Yusri Bakir, Muhaimin dan KS Bawani (PSM).

Terdapat 31,897 pengundi berdaftar di Ayer Kuning dengan pengundian awal ditetapkan pada 22 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.