PSM seperti Harimau Malaya, sekian lama ingin ke ‘Piala Dunia’

PSM seperti Harimau Malaya, sekian lama ingin ke ‘Piala Dunia’

Calon PSM Bawani KS berkata partinya akan terus berusaha untuk menang sepertimana Harimau Malaya sekian lama terus berjuang ke kejohanan berprestij itu.

KS Bawani
Calon PSM Bawani KS, berkata pilihan raya bukan khusus untuk parti besar semata-mata.
TAPAH:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan seruan parti itu tidak bertanding pada PRK Ayer Kuning, umpama meminta ‘Harimau Malaya menarik diri daripada kelayakan Piala Dunia’.

Calon PSM pada PRK itu, Bawani KS, berkata sebagai parti menekankan perjuangan, bukan prinsip parti menarik diri walaupun berdepan risiko kalah.

Beliau mengulas gesaan dua penganalisis agar PSM usah membuang masa dan membazirkan sumber apabila memutuskan bertanding lagi di kawasan sama pada pilihan raya lalu, meskipun hilang deposit.

Pada PRU15 November 2022, Bawani hilang deposit apabila sekadar meraih 586 undi dalam pertembungan lima penjuru, menyaksikan BN menerusi Ishsam Shahruddin menang majoriti 2,213 undi.

Dalam pada itu, Bawani menegaskan, pilihan raya bukan khusus untuk parti besar semata-mata.

“Meminta PSM tidak bertanding adalah umpama meminta pasukan bola sepak Malaysia untuk tidak bertanding dalam kelayakan Piala Dunia.

“PSM sentiasa berjuang melawan arus. Melawan sistem kapitalis, melawan parti kaya, melawan parti perkauman. Meminta PSM berundur dan tidak bertanding adalah memberikan mesej pilihan raya hanya untuk parti besar.

“Adakah PKR tidak bertanding selepas 2004 apabila kalah di semua kerusi kecuali Permatang Pauh? Kita tentu tidak menang jika tidak bertanding,” katanya kepada FMT.

Timbalan setiausaha agung PSM itu, berkata keputusan bertanding PRK Ayer Kuning mendapat sokongan dan motivasi perlbagai pihak sehingga ramai sukarelawan sanggup menderma untuk membantu kemenangannya.

“Ada yang derma RM50 dan RM100. Ada yang cakap akan cuba bantu dan berdoa atas kemenangan saya, walaupun kita parti kecil,” katanya.

Esok merupakan hari penamaan calon PRK Ayer Kuning, manakala pengundian 26 April. BN mengumumkan Mohamad Yusri Bakir sebagai calon, manakala PN, Abdul Muhaimin Malek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.