
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata seorang wanita berusia 46 tahun menerima pesanan WhatsApp daripada suspek menyamar kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada 7 April lalu.
Menurutnya, suspek memperkenalkan diri sebagai “Dahlia” membuat tempahan 135 hamper kurma dan coklat didakwa untuk majlis hari raya universiti itu pada 10 April.
“Pada 9 April, suspek membuat pesanan tambahan 145 hamper untuk majlis tersebut.
“Suspek juga memberikan nombor telefon seorang pembekal kurma dan coklat kepada mangsa, kononnya untuk memudahkan urusan jual beli kerana masa agak singkat,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, mangsa yang terdesak mendapatkan bekalan kurma dan coklat, menghubungi pembekal itu dan membuat tiga bayaran berjumlah RM26,100 menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan.
Azli berkata, walaupun mangsa menerima barangan itu, tetapi suspek tidak mengambil hamper ditempah pada 10 April dan tidak menjawab panggilan telefon menyebabkan mangsa berasa ditipu.
Katanya, mangsa menghubungi UiTM Dungun untuk mendapatkan pengesahan, namun kecewa dimaklumkan tiada tempahan dibuat pihak universiti.
“Mangsa membuat laporan pada 12.36 tengah hari semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.”