
Bekas presiden Persatuan Badminton Malaysia itu dicalonkan oleh 14 ahli biasa MOM, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh majlis tersebut.
Tumpuan kini beralih kepada persaingan jawatan timbalan presiden antara Presiden Persekutuan Karate Malaysia, Nur Azmi Ahmad dan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Awalan Abdul Aziz.
Sementara itu, tujuh calon pula bersaing untuk merebut lima jawatan naib presiden, termasuk penyandang, Mumtaz Jaffar dan Chong Kim Fatt.
Lima lagi calon ialah bekas perenang negara Nurul Huda Abdullah; Presiden Persekutuan Tinju Malaysia, Iruan Zulkefli; Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Sumali Reduan; Presiden Persatuan Skuasy Malaysia, Monteiro Gerard Clair; dan Presiden Taekwondo Malaysia, Azizul Annuar Adenan.
Pembantu Bendahari MOM, Nasir Ali pula akan mengambil alih jawatan setiausaha agung selepas turut menang tanpa bertanding. Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin kekal sebagai bendahari juga tanpa bertanding.
MOM akan mengadakan pemilihan untuk penggal 2025-2029 pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 MOM pada 19 April ini.
Satu panel bebas yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Firuz Jaffril, Hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai dan Harjit Singh Sidhu dilantik untuk mengendalikan proses pengundian.
Firuz berkata semua calon disaring oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, dan Jabatan Insolvensi.
“Tiada sebarang rekod rasuah, jenayah atau muflis dikesan. Oleh itu, semua calon layak bertanding sebagai calon yang sah,” katanya.