
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat pada 10.51 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati premis berkenaan merupakan sebuah stor menyimpan barang pembinaan yang turut dijadikan tempat tinggal mangsa.
“Pemeriksaan lanjut menemui mayat seorang lelaki warganegara Sri Lanka berumur 27 tahun dalam keadaan tertiarap, memakai baju-T merah berlengan pendek dan seluar pendek coklat,” katanya dalam kenyataan.
Iqbal berkata, juga ditemui seekor anjing yang mati di sisi mangsa, dipercayai turut terkena renjatan elektrik.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau kecederaan lain yang boleh menyebabkan kematian.
“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk bedah siasat.
“Kes disiasat sebagai kematian mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016 9537372,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan lima daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan tanpa henti sejak awal pagi tadi.
Daerah terkesan ialah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.
Setakat ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Shah Alam.