
Presiden Umno itu berkata pemindahan milik amanah sepatutnya dilakukan apabila individu terbabit tidak lagi berada di dalam parti atau memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
“Bila seseorang itu tidak lagi memegang jawatan dalam mana-mana organisasi, terutamanya organisasi politik yang telah mengamanahkannya untuk menjadi pemegang amanah, dia sepatutnya melepaskan (tanggungjawab pemegang amanah),” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Akademi Rel Pahang di Yayasan Pahang.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas tindakan Umno memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723m persegi dipindah milik kepada parti.
Tanpa mendedahkan identiti, beliau turut memaklumkan terdapat seorang individu masih tidak menandatangani dokumen untuk melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset parti, semasa yang lain telah berbuat demikian.
Dalam saman itu Umno memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Daim Zainuddin, Musa Hitam, Dr Mahathir Mohamad dan Sanusi Junid dipindahkan kepada Umno mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Zahid berkata Umno telah lama mengambil tindakan tersebut dan hanya kini diketengahkan media.
“Lama dah, kenyataan ini baru ditanya hari ini, jadi saya kena jawab,” katanya ketika ditanya mengapa baharu kini Umno mengambil tindakan berkenaan.