JDT belasah KDN FC 9-0

JDT belasah KDN FC 9-0

Penyerang JDT Bergson Da Silva menyumbang lima gol, Romel Morales menambah dua mata dan masing-masing satu gol hasil jaringan Shahrul Mohd Saad serta Safiq Rahim.

Pemain JDT Bergson Da Silva (tengah) meraikan gol ketiga ketika menentang KDN FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva mengganas dengan lima jaringan untuk membantu Harimau Selatan membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 9-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Penyerang berbisa itu membuka tirai jaringan seawal minit kelapan selepas menyambar hantaran Park Junheong, sebelum menambah gol kedua pada minit ke-20 hasil sepakan penjuru Nazmi Faiz Mansor.

Bergson terus menghukum barisan pertahanan longlai pelawat apabila menyumbat dua lagi gol pada minit ke-25 dan 27, hasil rembatan kaki kiri dan kesilapan penjaga gol KDN FC, Mohammad Fikri Che Soh.

Dia melengkapkan lima gol peribadi dengan jaringan kelima perlawanan pada minit ke-36, menjadikan kedudukan 5-0 menjelang rehat.

Bersambung babak kedua, giliran Romel Morales menambah derita Kijang Emas menerusi dua jaringan pantas pada minit ke-54 dan 57, sebelum Shahrul Mohd Saad meledak gol kelapan JDT pada minit ke-62.

Safiq Rahim melengkapkan malam gemilang skuad bimbingan Esteban Solari itu dengan gol kesembilan pada minit ke-84.

Kemenangan itu mengekalkan JDT, selaku juara liga musim ini, dengan rekod bersih selepas 23 perlawanan apabila mengumpul 67 mata, manakala KDN FC terus bergelut di dasar kedudukan dengan tujuh mata selepas 22 perlawanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.