
Pengecualian itu bagi tempoh bil pembetungan dikeluarkan April sehingga Disember 2025 manakala perkhidmatan pengosongan tangki secara percuma diberi kepada pengguna membuat penjadualan bagi tempoh sama.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata pihaknya prihatin terhadap kesulitan dihadapi penduduk terjejas dan komited membantu meringankan beban mereka selain memastikan sistem pembetungan cekap di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.

“IWK menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terjejas dan mendoakan proses pemulihan berjalan lancar serta kesejahteraan komuniti di Putra Heights dapat dipulihkan seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat pembetungan nasional itu turut berkata bagi memastikan ketepatan pengebilan selepas tempoh bantuan berakhir, semua akaun pelanggan akan disemak semula pada Jan 2026.
Jelasnya, akaun dikenal pasti sebagai mengalami kerosakan keseluruhan akan dinilai semula selepas premis disahkan selamat dan sesuai untuk diduduki.
“Siasatan tapak juga akan dilaksanakan semula bagi mengenal pasti premis yang telah sesuai untuk tujuan pengebilan.
“IWK akan menilai keperluan untuk melanjutkan atau menamatkan bantuan berdasarkan hasil semakan dan status pemulihan pada masa tersebut,” katanya.
Hubungi Pusat Khidmat Pelanggan IWK di talian 03-2083 2828 untuk maklumat lanjut.
Dalam kejadian 1 Apr lalu, kebakaran membabitkan 500m paip gas menyebabkan 111 cedera yang kebanyakannya melecur dan mengalami masalah pernafasan.
Sebanyak 235 rumah terjejas dengan 87 musnah sepenuhnya manakala 148 lagi rosak.
Kebakaran itu turut memusnahkan 225 kenderaan dan merosakkan 174 yang lain.
Ia juga menyebabkan kawah sedalam 10m terbentuk, selain merosakkan rumah serta harta-benda dalam radius 500m dari lokasi kebakaran.