
Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) mendakwa persidangan itu mendorong tafsiran sejarah yang tidak tepat, khususnya berkaitan asal-usul agama dalam tamadun Kedah Tua.
“Mereka mahu buktikan Kedah Tua berasal daripada Hindu-Buddha. Tapi kami percaya Islam sudah wujud sebelum zaman Nabi Muhammad lagi,” kata jurucakap Pekida, Ahmad Yakqub Nazri.
Anggota Pekida dan Gabungan Hak Bela Insan turut mengadakan bantahan di luar pintu masuk USM selepas solat Jumaat.
Mereka membantah tumpuan yang diberi terhadap Sungai Batu — yang turut dikenali sebagai Lembah Bujang — lokasi di mana ekskavasi terdahulu menemukan runtuhan struktur yang disifatkan oleh sesetengah ahli arkeologi sebagai kuil Hindu.
Yakqub mendakwa tamadun awal Kedah mengamalkan agama Hanif, (percaya tuhan adalah satu) dan pemerintah-pemerintah Kedah Tua telah memeluk Islam oleh pedagang Arab sebelum pengaruh Hindu atau Buddha tiba.
Beliau turut menolak pandangan bahawa struktur di Lembah Bujang menandakan pengaruh Hindu awal, mendakwa ia tidak menyerupai kuil Hindu.
“Kami pergi ke Lembah Bujang dan lihat sendiri strukturnya. Ia cuma tiang-tiang segi empat, bukan macam kuil Hindu,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kehadiran ahli akademik luar sebagai pembentang dalam persidangan itu, khususnya seorang penceramah utama yang digambarkan sebagai profesor kelahiran Perancis yang pernah menjadi sami Buddha di Thailand.
“Mengapa bekas sami Buddha dari Barat jadi penceramah utama? Mengapa ramai panel dari luar negara — Indonesia, Kemboja, India?” soalnya.
Yakqub juga menuduh USM meminggirkan cendekiawan tempatan, dan mendakwa nama ahli arkeologi terkenal negara, Mokhtar Saidin, hanya dimasukkan ke dalam senarai pembentang selepas desakan daripada pihaknya.
Beliau berkata Pekida menuntut agar persidangan itu dibatalkan serta satu debat awam diadakan antara ‘pakar’ kumpulan tersebut dan para sarjana ‘orientalis’.
Yakqub turut memberi amaran bahawa laporan polis akan dibuat sekiranya persidangan diteruskan.
Sementara, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Narimah Samat, mengesahkan universiti menerima surat daripada Pekida bulan lalu dan akan meneliti isu itu secara dalaman.
“Kami alu-alukan penyertaan semua pihak dan terbuka untuk mengadakan perbincangan akademik mengenai perkara ini,” katanya.
Narimah berkata persidangan itu dianjurkan bersama Jabatan Warisan Negara dan beberapa institusi lain, sempena kepengerusian Asean tahun ini.
Ketika ditanya sama ada persidangan itu akan dibatalkan, beliau enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan perkara tersebut akan dibincangkan secara dalaman.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Komuniti) USM, Azlan Amran, pula menegaskan bahawa persidangan tersebut berasaskan penyelidikan dan tidak berpihak kepada mana-mana kaum atau agama.