
Hukuman tersebut dikenakan terhadap Mohd Sukri Daud, 40, yang membuat pengakuan bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Sukri didakwa melarikan remaja itu dengan niat untuk mengurung mangsa secara sulit dan salah, kira-kira jam 3 petang pada 5 April lalu di taman permainan Taman RI 1, Bukit Rambai Idaman, Melaka Tengah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam tertuduh, S Amritpal Singh merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh hanya seorang peniaga kecil dan perlu menyara tiga anak yang masih kecil selain telah insaf.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan tersebut serius dan melibatkan mangsa yang merupakan individu OKU.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nur Afiqah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadap Sukri.