5 daerah di Selangor banjir kilat

5 daerah di Selangor banjir kilat

Daerah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak terjejas susulan hujan tanpa henti sejak 1 pagi tadi.

banjir selangor fb jbpm
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir kilat di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, hari ini. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Lima daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan tanpa henti sejak 1 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor, Ghazali Abd Rahman, berkata daerah terjejas itu ialah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Beliau berkata, kawasan terjejas di daerah Petaling terdiri daripada Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Tengah, Kampung Baru Hicom, Kampung Seri Aman, Kampung Padang Jawa dan laluan motosikal Jalan Persekutuan (Shah Alam).

“Banjir turut berlaku di Taman Daya, Bukit Payung dan Meru di daerah Klang, selain Kampung Abu Bakar Baginda di daerah Sepang. Bencana sama turut dilaporkan berlaku di Laman Gahal, Batu 14, Hulu Langat, Kajang,” katanya menurut Harian Metro.

Ghazali berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru bagi menempatkan mangsa.

Sementara itu, 15 mangsa dari 12 rumah di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang diselamatkan susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil dengan kekuatan enam anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.34 pagi tadi.

“Pasukan operasi mendapati berlaku banjir kilat sedalam empat kaki (kira-kira 1.2m) membabitkan 12 rumah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.