
Ketua Penerangan, Suhaimi Nasir, berkata pihaknya menghargai inisiatif bakal dinikmati 3.5 juta penduduk tempatan layak dan mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Namun, beliau berpendapat pelaksanaanya wajar dinilai semula dari beberapa aspek seperti tempoh program iaitu dari 1 Mei hingga 30 April 2028 yang menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan dasar itu dalam jangka panjang.

“Tanpa perancangan lanjutan atau kerangka dasar lebih luas, inisiatif ini berisiko menjadi dasar sementara yang tidak memberikan kesan berpanjangan terhadap kesejahteraan sosial,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun mengumumkan Kabinet negeri meluluskan skim insurans berkelompok, yang dijangka memberi manfaat kepada sekitar 3.5 juta penduduk tempatan.
Individu berumur antara sebulan hingga 80 tahun yang layak akan secara automatik memperoleh insurans perlindungan diri percuma, bernilai hingga RM10,000, serta faedah khairat kematian sebanyak RM500.
Menurut Masidi, perlindungan insurans tersebut akan dilaksanakan melalui syarikat milik kerajaan Sabah, Progressive Insurance Bhd.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut meminta penjelasan sama ada pemilihan syarikat terbabit dibuat melalui tender terbuka atau rundingan terus bagi memastikan proses pelantikan mengikut tadbir urus baik.
“Dari aspek perlindungan, jumlah pampasan RM10,000 dan khairat kematian RM500 dilihat tidak mencukupi dalam konteks kos kehidupan masa kini, terutama bagi keluarga berdepan kehilangan pencari nafkah.
“Ini menuntut penilaian semula supaya jumlah perlindungan lebih relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata, Umno Sabah juga mahu penjelasan berkait pemilihan penerima program secara automatik dan aspek pembiayaan.
“Sekiranya dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri, penting untuk mengetahui bagaimana ia akan memberi kesan kepada peruntukan sektor lain seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur luar bandar,” katanya.