Tingkat pelaburan, wujud permintaan hadapi kesan tarif AS, kerajaan diberitahu

Tingkat pelaburan, wujud permintaan hadapi kesan tarif AS, kerajaan diberitahu

Bekas Ahli Parlimen Charles Santiago berkata negara boleh kalis tarif dengan melabur dalam teknologi hijau.

reciprocal tariffs donald trumps ap pic 050425
Tarif baharu AS atas import ke negara itu bertujuan memaksa pasaran Asia menghapuskan halangan bukan perdagangan dalam sektor untuk memanfaatkan syarikat AS, kata Charles Santiago. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen menggesa Malaysia mengukuhkan pelaburan tempatan dan merangsang permintaan domestik untuk mengatasi sebarang potensi kelembapan ekonomi mungkin dibawa oleh tarif baharu import Amerika Syarikat (AS).

“Ini mungkin penyelesaian lebih pragmatik berbanding mendapatkan persetujuan negara anggota Asean untuk satu dasar,” kata Charles Santiago kepada FMT, menunjuk kepada perbezaan hubungan perdagangan dimiliki negara anggota dengan AS.

Bekas Ahli Parlimen Klang tiga penggal berkata, pelaburan ke dalam teknologi hijau, termasuk mengembangkan ekosistem panel solar dan meningkatkan pengeluaran makanan, boleh menjadi kunci agar negara kalis tarif dan memastikan daya tahan ekonomi masa depan.

charles santiago
Charles Santiago.

“Dengan melabur dan mengembangkan ekonomi tempatan, kerajaan boleh mengurus atau melindungi negara dengan lebih baik daripada kejutan global,” katanya.

Beliau berkata, ia akan membawa kepada penciptaan peluang pekerjaan dalam sektor baharu, memandangkan tarif mungkin mengakibatkan pemberhentian pekerja dan penutupan perniagaan.

Katanya, walaupun migran dijangka menanggung beban pengecilan saiz, penduduk tempatan akhirnya akan turut terjejas.

Santiago, seorang ahli ekonomi politik, memberi amaran kerajaan mesti mengekalkan kadar pengangguran yang rendah untuk memastikan pentadbiran stabil, sambil menambah ketidakstabilan boleh memburukkan lagi kelembapan ekonomi.

Menurutnya, memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan dan meningkatkan permintaan tempatan juga akan membantu mengurangkan pergantungan kepada negara lain, termasuk China.

Santiago berkata, beliau mendapati maklum balas diberikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) terhadap tarif sebanyak 24% diumumkan Presiden AS Donald Trump mengenai Malaysia adalah tidak memadai.

Beliau berkata, penyelesaian dicadangkan kementerian nampaknya terlalu menekankan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Dalam kenyataan Isnin lalu, Miti berkata ia akan meningkatkan penggunaan FTA sedia ada negara, termasuk perjanjian perkongsian ekonomi komprehensif yang dimeterai dengan UAE untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, dengan unjuran peningkatan 60% jumlah perdagangan dalam tempoh lima tahun.

Miti juga berhasrat menyambung semula rundingan FTA dengan Kesatuan Eropah dan Korea Selatan, serta akan mendapatkan peningkatan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean.

Santiago berkata, tarif AS bertujuan memaksa pasaran Asia menghapuskan halangan bukan perdagangan dalam bidang seperti pemerolehan kerajaan, hak harta intelek, insurans tempatan dan perkhidmatan digital, sektor yang akan memanfaatkan syarikat AS.

Katanya, ia juga bertujuan mengganggu peranan dominan China dalam ekosistem rantaian bekalan.

“Ini adalah sesuatu yang Miti terlepas pandang, itulah sebabnya memberi tumpuan kepada perjanjian perdagangan mungkin bukan cara terbaik untuk mengurangkan kesannya.”

Permintaan domestik hanya sebahagian penyelesaian

Sementara itu, Harald Sippel, yang sebelum ini menulis mengenai tarif dan sekatan, bersetuju bahawa merangsang permintaan domestik boleh melindungi sebahagian ekonomi daripada kejutan luaran seperti tarif.

Harald Sippel
Harald Sippel.

Beliau berkata, beberapa negara EU melaksanakan langkah itu pada kemuncak pandemik Covid-19.

“Tetapi merangsang ekonomi tempatan bukanlah penyelesaian yang lengkap.”

Malaysia, katanya, adalah negara berorientasikan eksport, terutama dalam sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan pembuatan.

Katanya, apabila tarif AS mengganggu aliran perdagangan global atau menjejaskan pasaran utama seperti EU, penggunaan domestik sahaja tidak dapat mengawal kesan tidak langsung.

Sippel berkata, produk keluaran Malaysia untuk eksport tidak digunakan secara tempatan dalam jumlah yang besar.

“Tidak mungkin berbilion-bilion eksport ini boleh dibeli secara tiba-tiba di dalam negara,” katanya.

“Meningkatkan permintaan secara tempatan boleh membantu beberapa industri, seperti sektor makanan dan minuman atau pembinaan, tetapi pendekatan yang lebih baik ialah mempelbagaikan rantaian bekalan.

“Permintaan domestik adalah sebahagian daripada penyelesaian, tetapi kedudukan global dan pengurusan risiko strategik adalah penyelesaian sebenar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.