Maritim rampas rokok, 7 kenderaan hampir RM1 juta

Maritim rampas rokok, 7 kenderaan hampir RM1 juta

Rampasan itu dilakukan dalam serbuan di Pasir Mas selepas dipercayai cuba diseludup dari Thailand, Selasa lalu.

Erwan Shah Soahdi
Pengarah Maritim Kelantan,Erwan Shah Soahdi (tengah) bersama pegawai menunjukkan sebahagian rokok putih yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali hari ini. (Gambar Bernama)
PASIR PUTEH:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas 1.2 juta batang rokok putih dipercayai diseludup dari Thailand dalam serbuan di tebing Sungai Pengkalan Ekor, Pasir Mas pada Selasa lepas.

Pengarah Maritim Kelantan, Erwan Shah Soahdi, berkata seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan kira-kira 8 pagi selepas pihaknya mengesan sebuah bot pancung bergerak laju dan mencurigakan di muara Sungai Kelantan ketika menjalankan Op Naga, Op Damai, Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris.

“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar membawa kepada penemuan lima kenderaan yang mengandungi kotak-kotak berwarna coklat disyaki berisi rokok serta dua motosikal dan dompet yang ditinggalkan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan tujuh kotak rokok putih masing-masing di dalam kereta Nissan Grand Livina, Perodua Alza dan Proton Exora, lima kotak (Perodua Kancil), empat kotak (Perodua Alza) serta 90 kotak lagi ditemukan di kawasan tebing sungai,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Tok Bali di sini hari ini.

Erwan Shah berkata anggaran nilai keseluruhan rampasan melibatkan tujuh kenderaan termasuk dua motosikal serta 120 kotak rokok putih berjumlah lebih RM958,500.

Mengulas lanjut, beliau berkata modus operandi sindiket adalah memilih lokasi terpencil bagi melakukan pendaratan, selain menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk mengangkut rokok seludup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.