
Beliau berkata, polis sedang memantau semua hantaran dalam talian berhubung kejadian itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebar maklumat palsu.
“Kita ada pasukan khas untuk siasatan ini, diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Kamarul Zaman
“Jabatan akan semak setiap aduan atau kandungan yang dikongsi dalam talian,” katanya pada sidang media di pos kawalan tapak kejadian hari ini.
Hussein berkata, polis Selangor sudah mengenal pasti seorang individu yang disyaki berkongsi hantaran mengenai kejadian itu.
Katanya, dua kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengenai mangsa kebakaran, Hussein berkata, 755 laporan polis telah dibuat oleh penduduk terjejas setakat ini, berhubung kerugian atau kerosakan pada rumah atau kenderaan mereka.
Katanya, polis juga telah merakam 172 kenyataan daripada penduduk, saksi dan kontraktor yang menjalankan kerja berhampiran tapak itu.
Hussein berkata, memandangkan lokasi kejadian diisytiharkan sebagai kawasan bencana, orang awam mahupun pasukan forensik tidak dibenarkan mendekati kawasan itu.
Ujian ultrasonik struktur rumah
Hussein berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menjalankan satu lagi ujian ke atas rumah terjejas menggunakan kaedah gema nadi ultrasonik (UPE).
Teknik tidak merosakkan ini menggunakan gelombang ultrasonik untuk mengesan kecacatan, mengukur ketebalan dan menilai keadaan bahan, termasuk konkrit, dengan menganalisis gema denyutan yang dihantar.
Hussein berkata, pemeriksaan JKR ini konsisten dengan pemeriksaan awal oleh jabatan lain.
Beliau menambah, penduduk telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk memulakan kerja pembaikan dan setakat ini, 190 keluarga telah pulang ke rumah masing-masing.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, penjawat awam negeri itu dianggarkan akan menyumbang sejumlah RM102,050 kepada Tabung Prihatin Selangor bagi membantu mangsa kebakaran paip gas Putra Heights.
Sementara itu, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia ditutup malam tadi selepas semua penghuninya pulang ke rumah. Mangsa di masjid Putra Heights pula akan pulang secara berperingkat sehingga hujung minggu ini.
Kebakaran paip gas Petronas pada 1 April lepas menyaksikan api menjulang lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan.