Tebang pokok Musang King tak langgar perintah mahkamah, kata kerajaan Pahang

Tebang pokok Musang King tak langgar perintah mahkamah, kata kerajaan Pahang

Penasihat undang-undang negeri berkata tanah itu milik kerajaan Pahang selepas mahkamah menolak permohonan pekebun.

kebun durian
Pasukan penguat kuasa negeri bersama polis, jabatan perhutanan dan pejabat tanah memasuki kawasan kebun kira-kira jam 11 pagi semalam dan mula menebang pokok durian Musang King tersebut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Pahang menafikan dakwaan melanggar perintah mahkamah selepas pihak berkuasa negeri itu menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King di Raub semalam.

Penasihat undang-undang negeri, Saiful Edris Zainuddin, berkata dakwaan Gabungan Selamatkan Musang King (Samka) bahawa operasi itu bercanggah dengan keputusan mahkamah adalah tidak berasas, lapor Sinar Harian.

“Permohonan mereka (untuk masuk ke kebun) sebelum ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Oleh itu, tanah tersebut secara sah adalah milik kerajaan negeri,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Saiful berkata tindakan menebang pokok durian itu diambil bagi menangani pencerobohan tanah, dan menegaskan pihaknya bersedia berdepan sebarang tuntutan di mahkamah.

Pada Julai 2024, Mahkamah Rayuan menolak permohonan 131 pekebun Musang King dari Raub untuk mendapatkan akses ke kebun mereka bagi tujuan penyelenggaraan dan mengusahakan pokok durian, sementara menunggu keputusan rayuan terhadap perintah pengusiran.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) untuk dilepaskan daripada tanggungjawab menyelenggara pokok-pokok durian berkenaan.

Mahkamah berkata pekebun terbabit sepatutnya memohon perintah penangguhan pelaksanaan di Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 43 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Samka menuduh kerajaan negeri melanggar perintah mahkamah dengan menebang pokok-pokok durian berkenaan.

Penasihatnya yang juga Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui, berkata pasukan penguatkuasa negeri bersama polis, jabatan perhutanan dan pejabat tanah memasuki kawasan kebun kira-kira jam 11 pagi semalam dan mula menebang pokok tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.