Tarif Trump: Kerajaan perinci tindakan susulan Isnin depan

Tarif Trump: Kerajaan perinci tindakan susulan Isnin depan

Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan memperincikan isu tarif timbal balik AS sebelum menghantar delegasi diplomasi.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan akan turut tertakluk kepada hasil Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi Asean yang diadakan esok serta perbincangan PM bersama pemimpin Asean lain.
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan memperincikan tindakan susulan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia dalam mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) pada Isnin ini.

Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut dibincangkan oleh Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini.

Katanya, sebarang keputusan akan turut tertakluk kepada hasil Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi Asean yang diadakan esok serta perbincangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin Asean lain.

“Pada Isnin, kita akan memperincikan perkara ini sebelum kita meminta rombongan (delegasi) bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan dihantar ke Washington,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Minggu ini, kerajaan khususnya melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) mengadakan libat urus dengan pihak industri, perniagaan, eksport dan pasaran modal bagi mengumpul maklum balas yang akan dibentangkan dalam satu kajian impak kepada NGCC.

Pada 2 April lepas, Presiden Donald Trump mengumumkan satu siri ‘tarif timbal balik’ terhadap import dari kira-kira 90 negara yang melebihi cukai menyeluruh 10% yang dikenakan ke atas semua import ke AS.

Langkah itu secara langsung menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington termasuk Malaysia yang dikenakan tarif 24%.

Negara anggota wilayah Indo-China Asean antara yang paling terjejas dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49%, diikuti Laos (48%), Vietnam (46%) dan Myanmar (44%).

Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36%, Indonesia 32%; Brunei 24%; Filipina 17%; dan Singapura pada tarif asas 10%.

Ahad lepas, perdana menteri memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini, memandangkan ekonomi negara kekal berdaya tahan.

Beliau turut menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.