
Namun filem dan drama itu turut menampilkan kesan visual khas (VFX) memukau yang memberi pengalaman mengasyikkan untuk sesiapa menontonnya.
Tetapi tahukah anda ada sentuhan anak Malaysia dalam menghasilkan kesan visual itu? Perkenalkan Arif Nizam berasal dari Pulau Pinang berusia 26 tahun yang terbabit secara langsung dalam naskhah popular terbabit.
Perjalanannya ke luar negara bermula pada usia 21 tahun apabila Arif diterima bekerja di MPC London, salah satu studio terkemuka dalam dunia VFX. Antara projek utama produksi itu termasuk Transformers, Harry Potter, dan filem Marvel serta DC.
“Rezeki saya apabila perektur menghubungi saya melalui LinkedIn selepas melihat profil dan hasil kerja saya,” katanya yang sebelum itu bekerja di studio tempatan Lemon Sky dan Animonsta Studios.
Dari Hollywood ke Osom School
Namun ketika Arif berada di puncak kerjayanya, dia diuji kehilangan ayah, Mohd Shamsulnizam Md Yusof, 49, dan adik lelakinya, Muhammad Ammar, 9, dalam satu kemalangan pada 7 Okt 2024.

Menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung selepas ketiadaan ayahnya, Arif memutuskan meninggalkan kerjayanya di luar negara untuk menjaga ibu dan dua lagi adiknya.
Secara kebetulan sebulan sebelum itu dia telah menubuhkan Osom School iaitu platform pendidikan kreatif untuk membantu anak muda mengasah kemahiran dalam bidang animasi 3D, VFX dan kecerdasan buatan (AI).
“Memang hasrat saya untuk fokus kepada projek itu untuk lahirkan bakat baharu,” katanya.
Bercerita idea untuk menubuhkan platform itu, Arif menjelaskan dia melihat ada jurang dalam sistem pendidikan yang masih bersifat konvensional dan tidak selari perkembangan teknologi menyebabkan murid cepat bosan.
Menurutnya, Osom School menggabung elemen visual dan pendidikan menerusi pendekatan tutor maya yang mencipta pengalaman pembelajaran interaktif untuk menarik minat murid.
“Bayangkan karakter Naruto yang diminati murid mengajar Matematik, pastinya dapat tarik perhatian,” katanya.
Tambah Arif, Osom School juga turut bekerjasama dengan agensi zakat untuk membantu golongan asnaf mendapatkan akses pendidikan berkualiti terutama dalam bidang animasi 3D.
Harapannya supaya bidang kreatif seperti animasi 3D, kesan visual dan rekaan digital dapat menjadi sumber pendapatan baharu buat golongan memerlukan.