
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Fawwaz Jan berkata program itu yang dianjurkan Ferringhi Heart Beach Club Malaysia, jelas mempromosikan acara yang menjolok mata dan menjatuhkan martabat nilai insan.
“PAS Pulau Pinang mendesak pihak berwajib, kerajaan negeri serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang membatalkan program ini serta memantau dan menghalang sebarang program lain yang tidak mengikut piawaian dan membawa unsur kemaksiatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Acara itu yang dikenali sebagai ‘Sonic Splash Songkran Music Beach Party’, dijadual diadakan pada 12 hingga 13 April bermula jam 4 petang.
Berdasarkan poster acara itu, beberapa DJ terkenal termasuk Vgene, Laze, Miho, dan Venterz, dijangka membuat persembahan pada parti itu. Tiket juga dijual kepada dewasa dan kanak-kanak berusia tiga tahun keatas.
Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, negara bahkan dalam agama tidak menghalang program berbentuk hiburan, tetapi perlulah mengikut tatacara serta peraturan yang telah ditetapkan.
Katanya, PAS Pulau Pinang menzahirkan rasa kecewa berkaitan penyebaran iklan program itu yang mengguris hati rakyat Malaysia.
“Budaya hedonisme yang melampaui batas serta adab tidak seharusnya dibenarkan apatah lagi mendapat sambutan kerana rentetan daripada gaya hidup berkiblatkan barat,” katanya.