Kerajaan Kedah juga sokong Songkran, PAS P Pinang diberitahu

Kerajaan Kedah juga sokong Songkran, PAS P Pinang diberitahu

Syerleena Abdul Rashid daripada DAP bidas PAS Pulau Pinang yang mahu pesta muzik Songkran hujung minggu ini dibatalkan.

songkran
Songkran atau ‘pesta air’ ialah sambutan tahun baharu masyarakat Thailand yang lazimnya diraikan dari 13 hingga 15 April setiap tahun. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan membidas PAS Pulau Pinang selepas parti itu melabelkan satu acara muzik sempena pesta Songkran hujung minggu ini sebagai ‘tidak bermoral’.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata kenyataan PAS Pulau Pinang itu tidak konsisten dengan parti tersebut di Kedah yang menyokong sambutan Songkran.

“PAS Pulau Pinang mendakwa ia mempertahankan moral tetapi rakan mereka di Kedah pula menyokong dan mempromosikan Songkran sebagai sebahagian daripada strategi pelancongan negeri.

“Ia tidak pernah menjadi isu sebelum ini, dan tidak wajar dijadikan isu sekarang, melainkan ada pihak yang sengaja mencipta kontroversi berunsur politik,” katanya dalam kenyataan.

Songkran, atau ‘pesta air’, ialah sambutan tahun baharu masyarakat Thailand yang lazimnya diraikan dari 13 hingga 15 April setiap tahun.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Fawwaz Jan, menggesa kerajaan negeri membatalkan acara muzik sempena Songkran selama dua hari yang dianjurkan oleh Ferringhi Heart Beach Club Malaysia.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa acara itu mempromosikan acara yang menjolok mata dan menjatuhkan martabat nilai insan serta sebagai budaya hedonisme yang melampaui batas serta adab.

Berdasarkan poster acara itu, beberapa DJ terkenal dijangka membuat persembahan dan tiket juga dijual kepada dewasa dan kanak-kanak berusia tiga tahun keatas.

Syerleena berkata pada April tahun lalu, kerajaan Kedah bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk menganjurkan sambutan Songkran peringkat negeri, sebagai pengiktirafan terhadap nilai budaya dan sumbangannya kepada sektor ekonomi.

Katanya, pesta kebudayaan Thailand itu kini menjadi sebahagian daripada kalendar pelancongan dan kebudayaan penting di Pulau Pinang, dan berlangsung saban tahun tanpa sebarang insiden serta persoalan mengenai moral tidak pernah dibangkitkan.

“Tindakan (oleh PAS) ini bukan soal nilai, tetapi soal kawalan,” katanya.

Beliau turut menggesa umat Islam meneladani ajaran Islam yang menggalakkan kesederhanaan, belas kasihan dan keadilan, sambil menekankan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian dan keharmonian antara kaum serta agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.