Kabel dipotong lagi, perkhidmatan ERL alami gangguan hari kedua

Kabel dipotong lagi, perkhidmatan ERL alami gangguan hari kedua

Ini hari kedua kabel perkhidmatan kereta api ERL dipotong menyebabkan semua perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit digantung sementara.

ERL menasihatkan penumpang mencari pengangkutan alternatif dan merancang perjalanan mereka. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengalami gangguan buat hari kedua berturut-turut akibat kabel perkhidmatan kereta apinya dipotong pihak tidak bertanggungjawab sekali lagi.

Susulan itu, ERL menyediakan perkhidmatan pengantara antara stesen Putrajaya, Cyberjaya dan KL Sentral bermula 6 pagi dengan kekerapan 20 minit.

ERL berkata, perkhidmatan pengantara antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 serta 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 6.20 pagi dengan kekerapan 20 minit.

Ia menasihatkan penumpang mencari pengangkutan alternatif dan merancang perjalanan mereka.

“Vandalisme kabel dipotong berlaku lagi pada pagi ini, yang mana ia akan memberi kesan kepada kedua-dua perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

“Berikutan isu teknikal, semua perkhidmatan kereta api digantung sementara waktu. (Penumpang) diminta merujuk kaunter tiket atau status perkhidmatan tren di (platform) X,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah ia masih membaiki sistem isyarat.

Semalam, ERL mengesahkan kabelnya di KM48.5 antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 KLIA dipotong pada 6.20 pagi Selasa.

Akibatnya, perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit digabungkan pada 6.58 pagi dari Terminal 2 KLIA dan 7 pagi dari KL Sentral semalam.

Perkhidmatan tren disambung semula pada 10 pagi semalam dari KL Sentral dan 9.48 pagi dari Terminal 2 KLIA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.