Bicara 1MDB Najib Razak: Ketua perlindungan saksi mahu mahkamah ketepi sepina

Bicara 1MDB Najib Razak: Ketua perlindungan saksi mahu mahkamah ketepi sepina

Pendakwaa berkata pegawai itu terikat kerahsiaan dan tidak boleh dedah maklumat berkait perlindungan saksi.

Najib Razak berdepan pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang RM2.28 bilion dideposit dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketua Bahagian Perlindungan Saksi Jabatan Perdana Menteri memohon mahkamah mengetepikan sepina yang mengarahkannya hadir memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak.

Peguam Kanan Persekutuan Nur Hidayah Raihan Nasir, mewakili bahagian itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa sepina disampaikan kepada pegawai itu semalam, tidak menyatakan sebab diperlukan kehadirannya di mahkamah.

“Saya ada bercakap dengan pasukan pembelaan dan maklumkan mereka ingin bertanya mengenai (bekas pegawai bank) Roger Ng.

“Kami percaya sepina ini patut diketepikan kerana ketua pengarah terikat bawah dengan kerahsiaan dan tidak boleh mendedahkan apa jua berkaitan perlindungan saksi, sama ada Ng atau sesiapa sahaja,” kata Hidayah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Hidayah memfailkan permohonan untuk mengetepikan sepina pada Jumaat ini.

“Saya akan mendengarnya pada Khamis (15 April),” katanya.

Peguam Shafee Abdullah juga meminta salinan permohonan tersebut diserahkan kepada pembelaan pada hari ia difailkan.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa peguam Najib ingin menemu bual Ng berhubung pembelaan bekas perdana menteri itu terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion dideposit dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.