
Kao berkata, tarif berkenaan menghantar gelombang kejutan kepada sistem perdagangan global dan menggegarkan asas perdagangan dan pelaburan korporat, yang selama ini sejak beberapa dekad menyokong pertumbuhan serta kemakmuran Asean.
“Kita sememangnya memahami kebergantungan membawa kepada kerentanan. Namun, amat jarang kita melihat pendedahan – begitu ketara, cukup tidak stabil, dan sangat nyata,” katanya pada ucap tama di persidangan Asean.
“Wawasan Asean adalah menjadi hab rantaian bekalan global yang dibina atas transformasi kita menjadi pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran,” katanya.
Bagi mencapainya, Kao menggesa Asean kekal komited ke atas prinsip penubuhannya, iaitu keterbukaan, berdaya tahan, dan kesatuan.
“Kita mesti mendalamkan lagi ikatan seratau kita, manfaatkan kekuatan 678 juta penduduk, buka seluasnya potensi bersama, dan mempelbagaikan pasaran dan rakan kongsi kita,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat khas menteri ekonomi Asean esok akan menilai kesan tarif AS terhadap setiap negara anggota dan blok itu secara keseluruhan.
Tariffs dikenakan kepada 10 negara serantau berbeza dengan paling rendah 10% ke atas Singapura, manakala tertinggi 49% kepada Kemboja.
Kao berkata, tanpa tindakan bersama dan segera untuk mempercepat integrasi ekonomi intra-Asean, rantau ini berdepan peningkatan risiko ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan.
“Demi kekal relevan dan berdaya tahan dalam dunia di mana kekacauan ekonomi semakin cepat menjadi norma baharu, kita mesti bertindak berani dan tegas untuk meneguhkan komitmen Asean terhadap persekitaran stabil, boleh diramal, dan mesra perniagaan,” katanya pada Persidangan Pelaburan Asean.
“Kita mesti juga memperkukuh dasar perdagangan rantau menerusi mekanisme serantau yang akan meningkatkan koordinasi dasar perdagangan untuk mengurangkan risiko pergeseran perdagangan intra-Asean.”
Beliau berkata, Asean kekal komited mempertingkat perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada bagi memastikan kekal relevan dan berkesan, sambil menambah rantau ini akan menandatangani perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Australia-New Zealand, dikemas kini pada 21 April.
Kao berkata, Asean juga sedang berusaha menandatangani FTA yang dipertingkat dengan China dan memuktamadkan kajian semula Perjanjian Perdagangan dan Barangan Asean-India.