SPRM sambung rakam percakapan Ismail Sabri hujung bulan ini

SPRM sambung rakam percakapan Ismail Sabri hujung bulan ini

Sesi keterangan akan masuk fasa kedua siasatan yang menjurus kepada isu isytihar harta, kata Azam Baki.

ismail sabri yaakob
Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan hartanya kepada SPRM pada 10 Feb lepas dan mula disoal siasat agensi antirasuah itu pada 19 Feb.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka menyambung semula sesi merakam percakapan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, sesi pertama rakaman percakapan yang memfokuskan kepada penemuan wang tunai RM170 juta serta 16kg jongkong emas di ‘safe house’ telah selesai, manakala sesi keterangan akan memasuki fasa kedua siasatan, menjurus kepada isu pengisytiharan harta.

“Dalam tempoh dua minggu ini, kami akan tanya balik dan sekiranya tak dapat dibekalkan, kita akan panggil juga rakaman percakapan untuk jelaskan kenapa dokumen-dokumen ini tak dapat diperolehi, dan mana saksi yang boleh beliau kemukakan untuk bantu menyokong pernyataan beliau berhubung pengisytiharan harta,” katanya dalam wawancara khas bersama Buletin Utama di pejabatnya.

Dilaporkan sebelum ini, 33 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan empat pegawai kanan Ismail, susulan penemuan wang tunai dan jongkong emas di sebuah premis ‘safe house’.

Susulan itu, empat pegawai tersebut serta seorang pengurup wang turut ditahan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Azam mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Bera itu ialah suspek dalam siasatan kes itu.

Ismail mengisytiharkan hartanya kepada SPRM pada 10 Feb lepas dan mula disoal siasat agensi antirasuah itu pada 19 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.