
Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan dan Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat ini kerana kelayakan Yusri berdasarkan akademik dan rekodnya sebagai aktivis selain anak tempatan mampu diterima ahli BN serta pengundi.
Bercakap kepada FMT, Azmi berkata setiausaha Umno Tapah itu juga tidak mempunyai liabiliti menjadikannya calon sesuai untuk mempertahankan kerusi Ayer Kuning bagi parti itu yang kosong susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb.
Menurutnya, mungkin akan wujud rasa tidak puas hati di kalangan segelintir ahli Pemuda tetapi tidak begitu kritikal memandangkan wakilnya iaitu Ketua Pemuda Umno Tapah Fahmi Ahmad Jakhisi disebut-sebut bakal dipilih.
“Tetapi Yusri pun calon boleh menang cuma jumlah majoriti boleh diperoleh masih menjadi tanda tanya.
“Saya percaya Pemuda Umno tidak akan buat bising dan akhirnya mengelakkan sabotaj,” katanya mengulas sama ada wujud kemungkinan cah keting terhadap Yusri pada PRK Ayer Kuning.
Semalam, Ketua BN Perak Saarani Mohamad mengumumkan Yusri yang memegang ijazah doktor falsafah (pendidikan Islam) dan bertugas ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPG Kampus Ipoh sebagai calon dari komponen itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, manakala penamaan calon 12 April.
PRK itu membabitkan 31,897 daftar pemilih hingga 22 Feb iaitu 31,315 pengundi biasa serta 582 anggota polis dan pasangan.
Pada PRU15 November 2022, Ishsam yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Sementara itu, Mazlan turut menolak wujud keretakan dalam Umno dan beliau yakin pucuk pimpinan parti itu boleh menguruskan suara mampu cetuskan perbalahan untuk mengelakkan masalah pada PRK nanti.
Menurutnya, kehadiran ramai jentera BN dan sokongan oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap Yusri yang mewakili kerajaan perpaduan boleh mengatasi segala kritikan serta mampu memberi kemenangan meyakinkan.
“Umno/BN mempunyai pengalaman luas dalam mengurus PRK dan saya tak fikir pemilihan calon kali ini akan mencetuskan perbalahan atau sabotaj…kalau ada tak puas hati mungkin hanya babitkan individu.
“Tak akan menggugat kedudukan, malah BN juga disokong PH yang boleh bantu tarik sokongan hampir 40% sokongan pengundi bukan Melayu,” katanya yang turut menyifatkan Yusri sebagai calon sesuai kerana kedudukan sebagai anak tempatan dan kelulusan tinggi.