Malaysia hantar wakil rasmi ke AS bincang isu tarif Trump

Malaysia hantar wakil rasmi ke AS bincang isu tarif Trump

Anwar Ibrahim berkata tarif berkuat kuasa esok itu mungkin memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia dan Amerika Syarikat.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucap tama Persidangan Pelaburan ASEAN hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa Malaysia akan menghantar wakil rasmi ke Amerika Syarikat (AS) untuk membincangkan tarif 24% dikenakan ke atas import dari Malaysia.

Beliau berkata perdagangan Malaysia dengan negara itu selama ini telah menjadi contoh kerjasama yang saling menguntungkan dan memanfaatkan kedua-duanya, dengan eksport Malaysia menyokong pertumbuhan negara dan menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi.

Namun, beliau berkata tarif berkuat kuasa esok itu mungkin memberi kesan negatif kepada ekonomi kedua-duanya.

“Kita tidak percaya kepada ‘diplomasi megafon’.

“Sebagai sebahagian daripada diplomasi berlandaskan perbincangan, kita akan menghantar pegawai ke Washington untuk memulakan proses dialog,” katanya berucap pada Persidangan Pelaburan ASEAN di sini.

Pada 2 April, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan beberapa tarif baharu yang secara langsung menaikkan duti import ke atas beberapa rakan dagang Washington di Asia Tenggara.

Negara paling terkesan ialah Kemboja dengan tarif asas sebanyak 49%, diikuti oleh Laos (48%), Vietnam (46%) dan Myanmar (44%).

Thailand dikenakan tarif sebanyak 36%, Indonesia 32%, Brunei dan Malaysia masing-masing 24%, Filipina 17%, dan Singapura 10%.

Anwar dalam ucapan itu juga berkata kepelbagaian perdagangan, integrasi ekonomi lebih erat dan inisiatif di peringkat sub-wilayah akan membantu mengurangkan kesan tarif itu.

Beliau berkata salah satu contoh utama ialah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, yang bertujuan menyokong pelaburan dan melancarkan pergerakan barangan serta orang ramai antara Malaysia dan Singapura.

“Walaupun ini bukanlah penyelesaian mutlak, namun ia tetap merupakan satu langkah yang signifikan,” katanya.

“Dengan merendahkan halangan dan menyelaras dasar antara dua ekonomi yang saling berkait rapat, kita mencipta satu kajian kes dalam logik ekonomi rentas sempadan.”

Beliau juga berkata Malaysia komited membangunkan kawasan sempadannya – seperti di utara Semenanjung yang bersempadan dengan Thailand, serta sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan – bagi menggalakkan aktiviti ekonomi.

Anwar menyatakan bahawa walaupun pemimpin rantau ini mungkin beranggapan kerjasama serantau bergerak perlahan atau bahawa sistem perdagangan antarabangsa ‘sudah tidak dapat diselamatkan lagi’, Asean telah membuktikan keupayaannya untuk menghadapi pelbagai cabaran sepanjang enam dekad kewujudannya.

Beliau berkata tarif diumumkan Trump berlaku dalam suasana ketidaktentuan globalisasi yang semakin meningkat, di tengah-tengah lonjakan perlindungan ekonomi dan penstrukturan semula rantaian bekalan.

“Dalam persekitaran ini, Asean menyerlah sebagai sinar harapan dan sikap positif. Kita masih secara umumnya komited terhadap keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi,” katanya.

“Dengan gelombang tarif yang melanda seluruh dunia dengan begitu pantas dan agresif, kita sedang menyaksikan keretakan dalam sistem global. Oleh itu, Asean perlu lebih bergantung kepada dirinya sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.