Kebakaran Putra Heights: 39 mangsa masih dirawat, seorang di ICU

Kebakaran Putra Heights: 39 mangsa masih dirawat, seorang di ICU

Mangsa di ICU hospital swasta melecur 21% di seluruh anggota badan, dengan sindrom kegagalan fungsi pelbagai organ, menurut KKM.

Massive gas pipeline fire
Menurut KKM, sebanyak 17 mangsa kebakaran paip gas Putra Heights dirawat di hospital kerajaan manakala 22 lagi di kemudahan kesihatan swasta. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Sebanyak 39 orang daripada keseluruhan 150 mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights Selasa lepas masih menerima rawatan di hospital dan klinik.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, daripada jumlah itu, 17 mangsa dirawat di hospital kerajaan manakala 22 lagi di kemudahan kesihatan swasta, termasuk seorang lelaki berusia 21 tahun di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Mangsa yang dirawat di ICU hospital swasta melecur sebanyak 21% pada tahap separa ketebalan dan ketebalan penuh di seluruh anggota badan, muka, leher dan belakang badan, dengan sindrom kegagalan fungsi pelbagai organ,” menurut data harian yang dikeluarkan oleh KKM hari ini.

Menurut KKM, terdapat 12 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing seorang di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Ampang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Selain itu, aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, selain di Hospital Putrajaya (HPj) dengan 112 individu menerima intervensi MHPSS.

Antara intervensi yang dilaksanakan adalah relaksasi, ekspresi seni dan kemahiran asas bantuan awal psikologi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.