Kastam rampas rokok, arak tanpa cukai lebih RM1 juta

Kastam rampas rokok, arak tanpa cukai lebih RM1 juta

Rampasan dilakukan dalam tiga serbuan berasingan sekitar Kuching.

Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya menunjukkan barangam dirampas pada sidang media. (Gambar Facebook)
KUCHING:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok tanpa cukai dan minuman keras disyaki seludup dianggar bernilai lebih RM1.62 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 25 Feb lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, berkata dalam serbuan pertama pada 9 pagi di sebuah premis di Batu 9, Jalan Penrissen, pihaknya menemukan 120,740 batang rokok serta 6,826.27 liter minuman keras di premis berkenaan di samping turut menahan seorang lelaki tempatan.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada 9.45 pagi di Batu Kawa New Township pula, kastam menemukan 2,776.25 liter minuman keras manakala 331,520 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama serta 13,681.92 liter minuman keras dirampas dalam serbuan ketiga di sebuah premis di Taman Malihan.

“Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pekerja di premis berkenaan juga ditahan dan kini dalam jaminan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam.

Norizan berkata, ketiga-tiga kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.