Pulau kecil ‘hanya dihuni penguin’ turut kena tarif tak teliti Trump, kata Anwar

Pulau kecil ‘hanya dihuni penguin’ turut kena tarif tak teliti Trump, kata Anwar

Perdana menteri berkata walaupun tarif baharu dibuat atas asas dipertikaikan, negara Asean tidak boleh memandang ringan perkara itu.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan negara Asean perlu membentuk kesepakatan dalam isu tarif AS bagi memastikan rundingan dan perbincangan bakal dijalankan mempunyai asas kukuh.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim menyifatkan kaedah penentuan tarif diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak teliti kerana ada negara pulau kecil “hanya dihuni penguin” turut tersenarai dalam langkah itu.

Tetapi, katanya, kerajaan memilih mengambil pendekatan sederhana terlebih dahulu memandangkan ruang untuk perbincangan dan perundingan masih terbuka, selain wujud beberapa pengecualian yang perlu dikenal pasti secara terperinci.

Beliau berkata, walaupun pengumuman tarif oleh Trump dibuat atas asas dipertikaikan, negara Asean tidak boleh memandang ringan perkara itu, khasnya dalam suasana ekonomi dan politik dunia tidak menentu.

Menurutnya, Malaysia dan negara Asean perlu membentuk kesepakatan dalam isu tarif itu bagi memastikan rundingan dan perbincangan bakal dijalankan mempunyai asas kukuh.

“Semalam saya menjelaskan dengan panjang lebar mengenai keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Pengumuman Tarif oleh Presiden Trump yang turut dihadiri seluruh Jemaah Menteri.

“Kita tidak boleh pandang ringan, walaupun kita tahu ini agak aneh kerana negara yang sebelum ini mendukung semangat perdagangan bebas serta menubuhkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT), iaitu negara-negara kaya seperti AS – kini mengambil langkah berbeza.

“Inilah yang saya maksudkan sebagai ‘post normal times’ apabila dasar politik dan ekonomi dilaksanakan secara tidak dijangka, termasuk pengumuman tarif dengan asas sangat lemah,” katanya menurut Bernama pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Anwar berkata, beliau bersama menteri berkaitan akan menghubungi rakan Asean untuk menyuarakan pendirian masing-masing dan pada masa sama bergerak sebagai satu kelompok besar.

“Kita harus berdiri tegap bersama sebagai Asean – dengan jumlah penduduk 640 juta dan kekuatan ekonomi antara yang utama di dunia. Rantau ini juga dianggap antara paling aman dan pesat membangun di dunia.”

Katanya, beliau memanfaatkan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang datang seketika untuk makan malam sempena Aidilfitri bagi membincangkan isu itu serta isu lain seperti Gaza dan Myanmar.

“Saya juga sempat berbincang panjang dengan perdana menteri Vietnam dan sebelum itu menghubungi pemimpin Filipina, Brunei, Laos dan Thailand untuk menyelaraskan pendirian masing-masing.

“Dengan pendekatan ini, kita mahu Asean sebagai satu kelompok mengemukakan pandangan bersama – menunjukkan kesepakatan dan membina asas lebih kukuh untuk rundingan akan datang.”

Rabu lalu, Trump mengumumkan satu siri tarif baharu yang secara jelas menyasarkan beberapa negara Asean. Langkah itu secara langsung menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington di rantau Asia Tenggara.

Negara anggota wilayah Indo-China Asean paling teruk terjejas akibat tarif itu, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49%, diikuti Laos (48%), (Vietnam 46%) dan Myanmar (44%).

Thailand dikenakan tarif 36%, Indonesia 32%, Brunei dan Malaysia masing-masing 24%, Filipina 17% dan Singapura pada tarif asas 10%.

Berdasarkan lembaran fakta daripada Rumah Putih bertarikh 2 April, tarif 10% ke atas semua negara berkuat kuasa 5 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.