
CEO LSHSM, Khairil Faizal Othman, berkata laporan itu dibuat pada pagi 1 April selepas syarikatnya gagal mengambil alih operasi bangunan pencakar langit itu daripada Hydroshoppe dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB).
Khairil berkata, laporan polis itu dibuat di IPD Dang Wangi.
“Selepas kami dihalang daripada memasuki premis pada tengah malam 1 April, saya bersama kakitangan terus membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita pada majlis Hari Raya bersama kakitangan Menara KL.
Khairil berkata, LSHSM mengalami kerugian setiap hari akibat kegagalan mengambil alih operasi menara tersebut.
Pada Mac, LSHSM menandatangani perjanjian pajakan dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi konsesi selama 20 tahun untuk mengendalikan Menara KL dan kawasan sekitarnya bermula 1 April.
Bagaimanapun, Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman untuk mencabar pemberian konsesi tersebut, dengan menuntut ganti rugi RM20.13 juta serta menuntut konsesi itu diserahkan kepada mereka.
Hydroshoppe dan MKLSB juga enggan mengosongkan premis dan masih meneruskan operasi di menara itu.
Minggu lalu, LSHSM berkata pihaknya akan bergantung kepada panduan kerajaan bagi memastikan proses penyerahan pentadbiran bangunan pencakar langit itu berjalan dengan ‘lancar dan penuh hormat’.
Khairil berkata, syarikat tersebut menghantar tawaran kerja kepada semua 205 kakitangan sedia ada Menara KL untuk menyambung perkhidmatan, dengan 193 orang menerima tawaran tersebut.
Menurutnya, 12 orang yang menolak tawaran itu memberikan pelbagai alasan, termasuk beralih ke industri lain.
Katanya, tiga keutamaan utama LSHSM ketika ini adalah memastikan kakitangan terus menerima gaji, bekerjasama dengan kerajaan bagi melancarkan proses penyerahan, serta menjaga imej negara.
Khairil berkata Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa ‘pengendali terdahulu’, iaitu Hydroshoppe dan MKLSB, telah dimaklumkan sejak Julai 2024 bahawa LSHSM akan mengambil alih pengurusan Menara KL.
Katanya, kementerian juga memberi jaminan bahawa operasi menara tersebut akan diteruskan tanpa gangguan, dengan proses peralihan dirancang dan diselaraskan demi menjaga kepentingan awam.