Kebakaran paip gas: Mangsa ‘total loss’ terima bantuan RM10,000

Kebakaran paip gas: Mangsa ‘total loss’ terima bantuan RM10,000

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata rumah terkesan dan penyewa pula akan menerima RM5,000.

Setakat ini 151 rumah disahkan selamat dan pemilik terbabit sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Penduduk di Putra Heights, Subang Jaya, yang kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran paip gas minggu lalu akan menerima bantuan tunai RM10,000.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata jumlah sumbangan membabitkan RM5,000 daripada Petronas yang dikawal selia sepenuhnya kerajaan negeri dan RM5,000 daripada kerajaan persekutuan.

“Ini bermakna pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akan menerima RM10,000 manakala rumah yang terkesan dan penyewa akan menerima RM2,500 daripada Petronas dan RM2,500 oleh kerajaan persekutuan, menjadikan semuanya RM5,000.

“Pada hari ini, sesi pertama penyampaian bantuan berkenaan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri.

“Seramai 219 pemilik yang disahkan itu dapat disampaikan hari ini, pihak jawatankuasa bencana akan memanggil secara individu semua yang dikenal pasti dan diikuti dengan hari seterusnya,” katanya dalam sidang media, menurut Harian Metro.

Sementara itu, Amirudin berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sudah melakukan pemeriksaan dan siasatan terhadap 437 rumah dikenal pasti sebagai angka muktamad oleh pasukan teknikal.

Katanya, semua rumah itu diletakkan dalam tiga kategori iaitu musnah sepenuhnya dengan kebakaran struktur melebihi 40%, separa musnah kebakaran struktur kurang 40% dan terkesan tetapi tidak terbakar.

“Maknanya dari keseluruhan itu, bagi kategori pertama sebanyak 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya, 81 rumah ditakrifkan sebagai separa musnah dan 57 terbakar tetapi tidak mengalami kebakaran kepada struktur. Baki sebanyak 218 rumah diperiksa didapati tidak terjejas.

“Kita juga sudah membesarkan kawasan yang terkesan dari hari pertama adalah 290 meter persegi atau radius. Kali ini, kira-kira 325 meter persegi dilakukan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 151 rumah disahkan selamat dan pemilik terbabit sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Mungkin ada kerosakan kecil yang harus ditanggung, perlu dilaksanakan pembaikan.

“Mesyuarat hari ini memuktamadkan senarai mangsa yang diperoleh hingga 6 petang semalam, sebanyak 613 isi rumah didaftarkan dengan PPS daripada keseluruhan 437 rumah termasuk yang disewakan bilik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.