Diversifikasi pasaran eksport bantu kurang impak tarif Trump, kata ahli akademik

Diversifikasi pasaran eksport bantu kurang impak tarif Trump, kata ahli akademik

Abu Sufian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan berkata Malaysia boleh luaskan skop pengeksportan barangan ke beberapa rantau berpotensi.

Tarif timbal balik pentadbiran Donald Trump beri kesan global termasuk Malaysia yang menjadi antara rakan dagangan utama AS dengan nilai eksport sekitar RM198.6 bilion tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Diversifikasi atau mempelbagaikan pasaran eksport boleh membantu mengurangkan kesan terhadap tindakan pentadbiran Donald Trump mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas import dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), kata ahli akademik.

Abu Sufian Yaacob berkata, tarif berkuat kuasa Rabu depan sememangnya akan memberi kesan global termasuk Malaysia yang menjadi antara rakan dagangan utama AS dengan nilai eksport sekitar RM198.6 bilion tahun lalu atau 13.2% daripada keseluruhan jumlah eksport negara.

Abu Sufian Yaacob.

“Apa yang perlu dibuat Malaysia ialah tidak terlalu bergantung kepada pasaran tertentu sahaja tapi luaskan skop pemasaran barangan seperti dalam kalangan negara Asean.

“Langkah itu mungkin boleh bantu kurang kesan secara langsung susulan pengenaan tarif timbal balik 24%,” kata ahli ekonomi dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kepada FMT.

Idham Razak.

Cadangan sama turut disuarakan Idham Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang melihat diverfikasi pasaran boleh menjadi kunci mengurangkan kesan keputusan Trump.

“Ini terutamanya membabitkan syarikat besar dengan sumber kewangan yang lebih kukuh, mereka mungkin boleh mengelak kesan awal melalui diversifikasi pasaran,” katanya.

Idham juga menggesa Malaysia memanfaatkan blok perdagangan selain AS misalnya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta menolak dasar perlindungan unilateral memudaratkan negara membangun.

Sementara itu, Abu Sufian berkata kerajaan juga perlu berwaspada terhadap pasaran modal menerusi penetapan polisi kewangan lebih fleksibel susulan tarif ‘timbal balas’ AS itu.

“Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti juga perlu memantau keadaan semasa supaya tidak berlaku kejutan atau tekanan sentimen daripada pelabur,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kesan daripada langkah tarif terkini oleh AS kepada ekonomi negara masih dalam peringkat penilaian oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, sebarang tindak balas dan langkah susulan terhadap kesan tarif terkini oleh AS kepada ekonomi negara perlu dirangka secara teliti dan masih terdapat ruang untuk mengadakan perbincangan serta dialog dengan rakan dagang utama negara.

Pada 3 April lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif berkaitan tarif timbal balik terhadap 49 negara termasuk Malaysia.

Selain Malaysia, Kemboja akan dikenakan tarif timbal balik 49%, Laos (48%), Myanmar (45%), Thailand (37%), Indonesia (32%), Brunei (24%), dan Filipina (18%).

Kadar tertinggi sebanyak 50% dikenakan ke atas Lesotho, manakala kadar paling rendah 11% dikenakan ke atas Republik Demokratik Congo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.