
Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, menurut jawapan bertulis Dewan Rakyat pada 6 Feb, pelaksanaan SST yang disemak semula skopnya itu sepatutnya diwartakan pada suku pertama tahun ini selepas perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan.
Katanya, namun sehingga kini ia masih belum diwartakan mahupun dibahaskan di Parlimen.

“Kerajaan perlu menyatakan dengan jelas sama ada pelaksanaan SST yang dijadualkan pada Mei 2025 telah dibatalkan atau ditangguhkan.
“Jika ditangguhkan, nyatakan dengan telus bila tarikh baharu yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Wee berkata memandangkan tarikh pelaksanaannya iaitu 1 Mei cuma berbaki 25 hari kerajaan diseru menangguhkan pelaksanaan SST yang disemak semula.
“Langkah ini akan membantu mengurangkan ketidaktentuan dalam pasaran dan membolehkan peniaga serta pelabur merancang dengan lebih baik.
“Ia juga memberi sedikit ruang bernafas kepada rakyat yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup tinggi dan dalam ketakutan terhadap tekanan ekonomi yang makin meningkat,” katanya.
Menurut jawapan bertulis Kementerian Kewangan, kerajaan mencadangkan penetapan kadar cukai jualan pada 0% dikekalkan ke atas barangan keperluan asas manakala kadar pada 5% dan 10% akan diperluas kepada barangan bukan keperluan asas, diproses, bernilai tinggi serta barangan import.
Penetapan cukai perkhidmatan pula melibatkan kadar yang dicadangkan sebanyak 8% berbanding 6% untuk diperluaskan kepada sektor perkhidmatan tertentu.