
Andy Hall berkata, sindiket itu dipercayai mempunyai sedikit kawalan ke atas pengambilan dan pengurusan pekerja asing di Malaysia yang menyebabkan masalah serius kepada pekerja Bangladesh antara 2022 serta 2024.
“Ramai pekerja terpaksa membayar jumlah sangat tinggi hanya untuk datang ke Malaysia. Ada yang direkrut majikan palsu dan akhirnya menganggur, miskin serta terperangkap dalam hutang,” katanya kepada FMT.
Pada awal 2024, beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyuarakan kebimbangan berhubung penyalahgunaan dalam proses pengambilan pekerja Bangladesh, susulan aduan rasmi Hall.
Malaysia menghentikan semua pengambilan pekerja asing pada Mei 2024, walaupun beberapa pengambilan diteruskan dalam sektor perladangan dan keselamatan. Penggantungan itu dijangka ditarik balik tidak lama lagi.
Hall berkata, perjanjian dengan Bangladesh pada 2021 perlu dikaji semula, manakala perjanjian tamat tempoh dengan Nepal juga perlu dikemas kini, sebelum pasaran buruh dibuka semula.
Menurutnya, klausa bermasalah perlu dikeluarkan “supaya sistem dapat dibersihkan daripada sindiket sepenuhnya”.
Katanya, kehidupan ramai pekerja musnah akibat hutang dan penyalahgunaan lain melalui “pengambilan pekerja tidak bertanggungjawab, tidak teratur dan tidak beretika, serta tingkah laku sedemikian yang bebas daripada hukuman”.
Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada Januari 2024 dilaporkan berkata, perjanjian buruh dengan 15 negara akan dikaji semula, tetapi tiada perjanjian baharu diumumkan setakat ini.
Beliau turut bimbang penggunaan sistem pengurusan yang terus mendapat kritikan Parlimen kerana terbuka kepada akses oleh pengguna tidak dibenarkan.
Beberapa kumpulan dan Ahli Parlimen menuntut sistem itu digantikan, selepas dakwaan ia digunakan sindiket untuk mengawal proses pengambilan pekerja serta menaikkan kos.
Pada November 2024, Bloomberg melaporkan Bangladesh meminta bantuan Interpol mengekstradisi individu di Malaysia dikaitkan dengan sistem itu yang “memeras wang daripada mangsa” dan menyebabkan mereka berdepan “penyeksaan fizikal serta mental”.