
Ketua Pakatan Harapan (PH) Kedah itu menerusi LOD dikeluarkan Tetuan S N Nair & Partners bertarikh 4 April berkenaan, menuntut pengguna media sosial terbabit atau nama sebenarnya Muhammad Zubair Ismail untuk memohon maaf.
Menerusi tuntutan itu, Zubair pada 26 Mac didakwa membuat hantaran di Facebook Tam Jebat mendakwa Saifuddin mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat KDA FC sehingga tiada pihak mahu menaja pasukan itu.
Dia turut mendakwa Saifuddin kononnya cuba untuk menyelamatkan pasukan itu untuk menunjukkannya wira di mata rakyat.
Pada keesokan harinya pula, Zubair didakwa membuat hantaran video menggunakan akaun TikTok @doubletree9977 berkait isu sama.
“Sekiranya anak guam kami tidak menerima maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, kami telah diarahkan untuk memulakan tindakan undang-undang tanpa sebarang notis lanjut.
“Segala kos, kerugian dan implikasi undang-undang daripada kegagalan kamu untuk bertindak akan menjadi tanggungjawab kamu sepenuhnya,” kata LOD itu.
LOD itu turut menyatakan fitnah itu telah menyebabkan kekeliruan dan salah tanggapan orang ramai terutama peminat sukan bola sepak terhadap Saifuddin.
“Tindakan kamu yang cuai, berniat jahat dan tidak berasas menyebabkan anak guam kami tiada pilihan selain mengambil langkah undang-undang untuk mempertahankan reputasi serta integriti,” katanya.
Pada 26 Mac lalu, media melaporkan Saifuddin ada perbincangan dengan KDA FC berhubung hala tuju pasukan bola sepak itu.
Saifuddin berkata pertemuannya dengan pemilik KDA FC Mohd Daud Bakar yang diadakan sebelum ini adalah kerana minatnya terhadap sukan bola sepak dan pasukan tersebut.
Masalah kewangan dihadapi KDA FC menyebabkan pasukan itu gagal membayar gaji pemainnya.