‘Maaf, terpaksa tolak’, ada mangsa kebakaran paip gas enggan pindah

‘Maaf, terpaksa tolak’, ada mangsa kebakaran paip gas enggan pindah

Rumah sementara dicadangkan di Sepang dan Airbnb sekitar Lembah Klang dikatakan jauh dari lokasi kediaman asal.

kebakaran saluran paip gas
Ada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights Selasa lalu trauma pulang ke rumah. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Ada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights, Selasa lalu, enggan pindah ke rumah sementara di Kota Warisan, Sepang, termasuk Airbnb di Lembah Klang atas alasan menyukarkan urusan harian.

Zuraida Zabidin, 46, terpaksa menolak jika kerajaan tetap mencadangkan lokasi itu, tambahan pula menyulitkan pergerakan menghantar anak ke sekolah.

Zuraida Zabidin.

Dia berharap kerajaan pertimbang mencari kediaman untuk disewa di kawasan sekitar yang lebih dekat.

“Kalau pindah Sepang kami mohon maaf terpaksa tolak, tak akan pindah ke sana sebab jarak jauh, anak sekolah di Shah Alam nak ulang-alik sangat jauh.

“Kalau jauh pergerakan susah, kami tak ada kenderaan…semua hangus terbakar.

“Ada pun kenderaan diberi agensi tertentu ia terhad, kereta itu nak pakai pergi kerja, ambil anak sekolah, ahli keluarga lain pun nak pakai kenderaan sama,” katanya kepada FMT, memberitahu kediamannya rosak sepenuhnya dan tidak boleh didiami.

Hamdan Mohamad.

Hamdan Mohamad, 54, dari Kampung Kuala Sungai Baru menyuarakan harapan disediakan pengangkutan khusus kepada anak-anak mangsa berulang-alik ke sekolah.

“Sebab kenderaan semua rosak, kami ibarat ‘patah kaki’ untuk bergerak kalau jarak jauh,” katanya.

Turut senada mangsa mahu dikenali sebagai Chang, 48, yang mana anaknya bersekolah di Bandar Sunway.

Chang memberitahu masih lagi trauma kembali menduduki rumahnya, sambil meminta pihak berkuasa melakukan penelitian terperinci supaya kejadian sama tidak berulang.

Katanya, tiada pihak akan membeli rumahnya jika dia ingin menjual.

Chang.

“Sekarang nak jual rumah siapa nak beli? Nak tinggal sana masih risau, jadi kami serba salah, kalau boleh sebelum kami dibenar masuk rumah, pihak berwajib lakukan pemeriksaan teliti supaya kami lebih yakin,” katanya merujuk risiko pendawaian elektrik yang boleh mencetuskan kebakaran.

Sementara itu, Ahmad Abdullah, 64, berharap pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan kawasan lokasi kejadian termasuk sebelum membenarkan sebarang aktiviti pembangunan.

Ahmad Abdullah.

“Kerajaan perlu bertindak lebih aktif, pantau kawasan berisiko secara berkala,” katanya.

Tragedi pada pagi Aidilfitri kedua itu memusnahkan satu seksyen sepanjang 500m saluran paip gas, mengakibatkan 111 cedera, kebanyakannya mengalami melecur dan masalah pernafasan, selain merosakkan rumah, kenderaan serta harta-benda.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata pihaknya sedang mempertimbang menempatkan semula mangsa Putra Heights ke rumah sementara mulai minggu depan dan seterusnya.

Beliau berkata, penduduk terjejas mungkin ditempatkan di Kota Warisan, Sepang dan Airbnb sekitar Lembah Klang untuk menangani kesesakan di pusat pemindahan sementara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.