
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata 15 individu itu adalah subkontraktor dan pekerja.
Katanya, polis menerima 642 laporan setakat 12 tengah hari tadi, termasuk satu laporan menyatakan ada orang bermain mercun pada 31 Mac iaitu malam sebelum kejadian.
Bagaimanapun, Hussein tidak melihat perbuatan bermain mercun itu boleh mengakibatkan kejadian, sambil menambah pihaknya sedang menunggu laporan siasatan penuh.
Menurutnya, rakaman keterangan setakat ini mendapati kerja korekan daripada pihak kontraktor tidak melebihi 3m sepanjang jalan tersebut dengan lebar korekan 1.5m, dan jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas itu memperoleh kelulusan.
“Belum dapat menentukan sama ada kerja korek tanah itu mengganggu keseluruhan laluan paip. Keadaan fizikal paip gas Petronas tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata. Maka perlu siasat lebih lanjut,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, siasatan teknikal oleh Jabatan Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan (JKKP) belum dimulakan kerana masih dalam fasa menstabilkan kawasan letupan yang dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 hari.
Sementara itu, Hussein memaklumkan sehingga kini sebanyak 154 rumah disahkan selamat dan boleh diduduki semula.
“Manakala 87 rumah mengalami kerosakan besar dan 25 daripadanya mengalami kerosakan 100%,” katanya.
Kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Setakat semalam, sebanyak 509 keluarga mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan sebahagiannya tidak tinggal di situ dan jumlah tersebut dijangka bertambah memandangkan terdapat segelintir berada di luar kawasan semasa kejadian pada Aidilfitri kedua itu.