
Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata selain tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh SMART telah tamat, ia perlu dihentikan kerana mereka tidak lagi menjumpai mangsa hidup yang terperangkap di bawah runtuhan bencana alam itu.
“SMART kita jumpa seorang sahaja masih hidup dan yang lainnya semua telah meninggal dunia,” katanya kepada Bernama sebelum mengakhiri lawatan rasmi misi kemanusiaan ke Myanmar.
Misi kemanusiaan sehari itu turut diketuai bersama rakan sejawatnya dari Thailand Maris Sangiampongsa.
Menurut Mohamad, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Min Aung Hlaing dan Menteri Luar Myanmar U Than Shwe turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kecekapan SMART melaksanakan operasi SAR di negara itu selain penyaluran bantuan kemanusiaan yang lain.
Mohamad berkata, perkara itu dizahirkan semasa sesi pertemuannya dengan Aung Hlaing dan Than Shwe.
Katanya, SMART telah dihantar ke Sagaing, iaitu kawasan paling teruk terjejas kerana pasukan itu mempunyai kelengkapan mencari dan menyelamat mencukupi.
“Malah, saya dimaklumkan penduduk di sana sangat menghormati dan sanjung tinggi pasukan SMART kita sehingga mereka minta pasukan kita jangan kembali ke Malaysia lagi,” katanya.
Malaysia menghantar dua pesawat A400M milik tentera udara yang membawa 50 anggota dan pegawai SMART serta pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ke Myanmar, bagi operasi SAR pada 30 Mac.
Operasi SAR oleh SMART berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk seorang yang masih hidup di bawah runtuhan gempa bumi di daerah Sagaing, sejak Isnin lalu.