Pemimpin KDCA desak siasat surat sokongan Shafie lulus permohonan MyKAS

Pemimpin KDCA desak siasat surat sokongan Shafie lulus permohonan MyKAS

Steve Johnny Mositun persoal campur tangan politik dalam memohon dokumen pengenalan diri susulan penularan dua surat rasmi mengandungi arahan Mohd Shafie Apdal pada 2019.

Shafie Apdal
Baru-baru ini, tular dua surat rasmi bertarikh 26 April 2019 dan 9 Okt 2019 mengandungi arahan bertulis bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang menyokong permohonan dokumen pengenalan diri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menggesa pihak berkuasa menyiasat penularan dua surat rasmi mengandungi arahan bertulis bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang menyokong permohonan dokumen pengenalan diri.

Surat bertarikh 26 April 2019 dan 9 Okt 2019 terbabit menunjukkan Shafie yang ketika itu mengetuai pentadbiran Sabah meminta permohonan sambungan kad pemastautin sementara (MyKAS) oleh pemohon dari Semporna diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Arahan itu turut diberi oleh presiden Warisan itu kepada setiausaha hal ehwal dalam negeri & penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

Steve Johnny Mositun
Steve Johnny Mositun.

Pengerusi Majlis Belia KDCA Steve Johnny Mositun mempersoalkan kewajaran campur tangan politik itu dan menggesa JPN serta Kementerian Dalam Negeri mendedahkan jumlah permohonan MyKAS, MyPR dan MyKAD disokong Shafie antara 2018 hingga 2020.

Mositun mempersoalkan sama ada permohonan itu melalui proses dokumentasi, tapisan keselamatan dan pematuhan undang-undang di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 atau peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat sekiranya ada elemen salah guna kuasa atau ketirisan sistem pentadbiran untuk mengelakkan episod Projek IC berulang sekali gus mencetuskan kesan jangka panjang terhadap struktur sosial dan ekonomi negeri.

“Sabah pernah dibakar kesilapan ini. Kita tidak mahu api lama dinyalakan semula melalui pintu belakang pentadbiran negeri. Soal kewarganegaraan bukan mainan politik – ini soal kedaulatan negara,” tegasnya dalam kenyataan.

Mositun turut membidas kenyataan Timbalan Ketua Penerangan Warisan Justin Wong mendakwa MyKAS bukan kad pengenalan tetap tetapi sementara untuk individu lahir di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraan mereka tidak dapat ditentukan.

Jelasnya, pemahaman itu tidak mencerminkan realiti sepenuhnya kerana pemegang MyKAS berpeluang memohon status pemastautin tetap (MyPR) dan seterusnya MyKAD mengikut syarat dan tempoh ditetapkan.

“MyKAS sebenarnya titik permulaan kepada kewarganegaraan.

“Oleh itu, sebarang pengaruh luar terhadap kelulusan MyKAS – lebih-lebih lagi melalui arahan politik – adalah sangat membimbangkan,” tegas Mositun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.