Leman Raja Lawak sertai PKR tak beri kesan, kata Pemuda Amanah

Leman Raja Lawak sertai PKR tak beri kesan, kata Pemuda Amanah

Ketuanya Mohd Hasbie Muda berkata jumlah yang sertai Amanah jauh lebih besar daripada yang tinggalkan parti.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda berkata penghijrahan Sulaiman Ibrahim ke PKR tak beri kesan kepada parti kerana ahlinya terus bertambah setiap bulan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penghijrahan bekas ketua Amanah Sik yang juga bekas peserta Raja Lawak musim kelima, Sulaiman Ibrahim ke PKR tidak memberi kesan kepada parti itu kerana jumlah ahlinya semakin bertambah setiap bulan.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda berkata, Sulaiman yang lebih dikenali Leman Raja Lawak juga sudah lama tidak aktif dengan parti itu.

“Itu hak atau pilihan peribadi beliau. Lagipun saya difahamkan beliau telah lama tidak aktif dengan Amanah.

“Ahli Amanah terus bertambah setiap bulan jauh lebih besar dari yang meninggalkan parti,” katanya kepada FMT.

Semalam, Sulaiman mengumumkan menyertai PKR dengan alasan mahu memperkukuhkan parti itu di kawasan Tasek Gelugor menjelang PRU16 kerana sudah menetap dan menukar alamat di kawasan tersebut.

Beliau turut menafikan timbul perselisihan antara pimpinan Amanah di semua peringkat.

Sulaiman berkata, penghijrahannya bukan isu besar kerana perjuangannya masih bersama Pakatan Harapan (PH).

“Menjadi tanggungjawab saya sebagai aktivis parti untuk menguatkan dan menarik sokongan rakyat kepada PH semula bagi merampas serta memberi kemenangan kepada PH menjelang PRU16.

“Saya sentiasa berjuang untuk menguatkan PH hingga ke peringkat akar umbi, walaupun tidak lagi bersama Amanah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.